April 1, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nourul Depp Bangkit Dengan ‘For You Nourul’, Bukti Evolusi Artis & Usahawan

Spread the love

Kredit Foto:  MegatzReview

Penyanyi berpengalaman, Nourul Depp, menyifatkan konsert solo For You Nourul sebagai titik penting dalam membuka lembaran baharu perjalanan seninya bukan sekadar sebuah persembahan biasa, sebaliknya simbol transformasi diri sebagai artis dan juga usahawan.

Lebih signifikan, konsert ini turut menyaksikan Nourul menggalas tanggungjawab sebagai penganjur menerusi syarikatnya sendiri, ND Entertainment, sekali gus membuktikan keberaniannya meneroka sisi baharu dalam industri hiburan.

“Konsert ini bukan sekadar tentang persembahan, tetapi tentang pembelajaran, memahami proses dan membawa sesuatu yang baharu dalam perjalanan saya sebagai artis dan juga usahawan,” katanya ketika ditemui pada sidang media yang telah berlangsung di Smith & Wollensky, Kuala Lumpur pada 31 Mac lalu.

Menurutnya, perjalanan merealisasikan konsert tersebut bukan mudah apabila berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan pihak penganjur sebelum ini.

“Saya hampir membatalkan konsert ini, tetapi saya sedar jika saya berhenti, saya tidak akan dapat meningkatkan standard diri saya sendiri. Jadi saya pilih untuk teruskan,” katanya penuh tekad.

Lebih daripada itu, konsert ini menjadi simbol kebangkitan semula Nourul selepas lebih sedekad memberi fokus kepada keluarga dan perniagaan.

“Ini adalah ‘preview’ kepada fasa baharu dalam perjalanan saya, dengan mindset, tenaga dan visi yang berbeza,” jelasnya.

Konsert For You Nourul yang asalnya dijadual berlangsung pada 17 April 2026 kini ditunda ke 30 Mei 2026 bagi memberi ruang selepas musim perayaan serta memastikan aspek produksi dapat diperkemas.

“Pemilihan tarikh baharu ini juga bagi memberi peluang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan supaya mereka dapat hadir dalam suasana lebih selesa,” katanya.

Tambahnya lagi, penjadualan semula itu memberi kelebihan dari segi susunan persembahan termasuk pemilihan artis jemputan.

Dalam perkembangan sama, Nourul mengumumkan Mimi Fly sebagai artis jemputan yang bakal berkongsi pentas bersamanya di Zepp Kuala Lumpur.

Menurut Nourul, pemilihan Mimi dibuat berdasarkan aura dan keserasian mereka sebagai dua figura wanita dalam industri muzik.

“Saya mahukan elemen women empowerment. Mimi datang dengan pakej tersendiri, itu kelebihan dia. Kami nampak ‘energy’ kami sama,” katanya.

Tambahnya, walaupun berbeza generasi, cabaran yang dilalui Mimi hari ini adalah cerminan pengalaman yang pernah ditempuhnya suatu ketika dahulu.

Sementara itu, Mimi Fly meluahkan rasa terharu atas peluang tersebut, apatah lagi Nourul merupakan antara idolanya sejak kecil.

“Kak Nourul selalu beri sokongan dan kata-kata semangat kepada Mimi. Bila dia kata nak buat konsert, saya sangat teruja kerana saya membesar dengan lagu-lagu beliau.

“Kami akan berikan yang terbaik untuk peminat,” katanya.

Norul turut menjelaskan bahawa konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah perjalanan penuh makna tetapi menandakan kebangkitan semula seorang figura seni yang tidak pernah berhenti berevolusi.

Konsert For You Nourul bakal berlangsung pada 30 Mei 2026, jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur dengan harga tiket yang ditawarkan adalah RM198 – Sehati Sejiwa,  RM298 – Cinta Azali, RM328 – Keliru, RM388 – Kerana Terluka dan RM6,000 – VIP Box.

Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi Ticket2U.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page