March 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Margasatwa ‘Pecah Tradisi’, Pertaruh Lagu Raya Penuh Jiwa Dalam ‘Bersama Semoola’

Spread the love

Kumpulan rock alternatif tempatan, Margasatwa, mencipta momen istimewa dalam perjalanan seni mereka apabila tampil dengan single Raya pertama berjudul Gembira Raya — sekali gus dipilih sebagai lagu utama dalam filem pendek terbaharu terbitan Farm Fresh, Bersama Semoola.

Lebih menarik, karya ini bukan sekadar lagu perayaan biasa, sebaliknya hadir dengan sentuhan emosi yang dekat dengan realiti masyarakat, menjadikannya antara taruhan unik musim Aidilfitri tahun ini.

Mengangkat konsep “nostalgia bertemu modeniti”, Gembira Raya dimulakan dengan susunan muzik yang perlahan dan reflektif seakan menggambarkan suasana pagi Syawal yang tenang dan penuh makna.

Namun, rentaknya berkembang menjadi lebih rancak dan hangat, membawa pendengar menyelami kemeriahan tradisi kunjung-mengunjung, sekali gus membangkitkan semangat kekeluargaan yang menjadi tunjang Aidilfitri.

Liriknya pula cukup dekat di hati, menyentuh momen klasik seperti perjalanan pulang ke kampung, gelagat kanak-kanak meminta duit raya serta gelak tawa yang hanya terasa lengkap apabila seluruh keluarga berhimpun.

Menurut vokalis merangkap penulis lagu, Kimal, idea menghasilkan lagu ini tercetus ketika beliau terlibat dalam pembangunan naratif filem pendek Bersama Semoola.

Katanya, struktur emosi filem itu menjadi panduan utama dalam membentuk perjalanan muzik Gembira Raya.

“Proses kreatif berlaku secara spontan. Kadang-kadang idea datang ketika memandu, bersama anak-anak atau saat santai menikmati minuman. Semua detik kecil itu sebenarnya memberi ‘rasa’ kepada lagu ini,” katanya.

Dalam landskap muzik yang semakin dipengaruhi trend jangka pendek, Margasatwa memilih pendekatan berbeza apabila menyasarkan penghasilan lagu yang mampu bertahan lama.

Mengambil inspirasi daripada karya Raya klasik legenda tanah air, mereka meletakkan misi untuk menghasilkan lagu yang bukan sahaja relevan hari ini, tetapi terus menjadi pilihan setiap kali Aidilfitri menjelang.

“Matlamat kami adalah untuk hadir dengan lagu yang ada nilai emosi dan kekal relevan. Kami mahu Gembira Raya menjadi antara lagu yang akan diputarkan setiap tahun dalam suasana keluarga,” jelas mereka.

Dengan gabungan elemen moden dan sentuhan nostalgia, Gembira Raya dilihat berpotensi menjadi antara lagu Raya baharu yang mampu mencipta impak tersendiri dalam industri muzik tempatan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page