March 19, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Sindevourer Indonesia Kukuh Kerjasama Bersama Label Malaysia

Spread the love

Kumpulan death metal Indonesia dari Pontianak, Kalimantan Barat, Sindevourer, mencipta langkah penting dalam kerjaya muzik mereka apabila memilih label rakaman dari Malaysia bagi pelancaran EP sulung mereka berjudul “Malamorta”.

EP tersebut dijadual dilancarkan pada 11 April 2026 di Kuching, Sarawak, Malaysia sempena acara Sarawak Metal Titans 2026, sekali gus menandakan kemunculan mereka di pentas antarabangsa.

Sindevourer yang dianggotai Mvlis (bass), Docha (vokal), Sandrio (gitar), Ilham (dram) dan Septyan (gitar) sebelum ini mula dikenali dalam arena muzik ekstrem menerusi single sulung mereka “Bararima Antiesa”.

Menurut kenyataan daripada kumpulan itu, pemilihan Kuching sebagai lokasi pelancaran bukanlah satu kebetulan, sebaliknya merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan jaringan rentas sempadan dalam kalangan komuniti metal Asia Tenggara.

Bagi menjayakan pelancaran tersebut, Sindevourer bekerjasama dengan label rakaman dari Kuching, Sarawak yang dikenali sebagai Evil Institution Records, selain sokongan daripada penganjur gig Midlife Crisis Apai Urang dan Restwell Extreme Chapter.

“Kami melihat ini sebagai pencapaian penting. Peluang melancarkan EP dan membuat persembahan secara langsung di Kuching adalah satu penghormatan besar buat kami.

“Kami berharap kerjasama ini menjadi permulaan kepada hubungan jangka panjang serta menyumbang kepada perkembangan scene metal di ASEAN, khususnya di Pulau Borneo,” menurut kenyataan itu.

EP “Malamorta” menampilkan lima buah lagu yang sarat dengan elemen agresif, gelap dan berintensiti tinggi, selari dengan pendekatan old school death metal yang dibawakan kumpulan tersebut.

Pelancaran ini dijangka membuka ruang lebih luas buat Sindevourer untuk menembusi pasaran global, selain memperkenalkan muzik ekstrem Indonesia kepada khalayak yang lebih meluas.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan itu turut melancarkan video lirik terbaharu mereka hari ini menerusi saluran YouTube rasmi Sindevourer.

Video lirik tersebut dilihat sebagai usaha memperkenalkan lagi identiti muzik mereka kepada peminat, selain menjadi ‘teaser’ awal menjelang pelancaran rasmi EP “Malamorta” bulan depan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page