“Goyang Raya” satukan elemen tradisional dan moden
Sambutan perayaan yang bertindih pada awal tahun ini menjadi inspirasi kepada penerbitan sebuah lagu baharu berjudul “Goyang Raya” yang menampilkan kolaborasi antara kumpulan 1119 (TRIPLE1NINE), Meer Nash, Aniez dan Zac Zac.
Pelancaran lagu tersebut mencuri perhatian apabila video muziknya berjaya meraih hampir 100,000 tontonan di YouTube dalam tempoh hanya dua hari selepas dilancarkan.
Menurut kenyataan media, karya tersebut terhasil daripada kerjasama kreatif merentas latar belakang etnik apabila barisan penyanyi, produser serta bakat kreatif Melayu dan Cina bergabung dalam proses penghasilan lagu dan liriknya.
Lagu “Goyang Raya” mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu yang fasih dengan gabungan unsur muzik tradisional serta elemen moden, sekali gus mewujudkan suasana perayaan Hari Raya yang meriah.
Karya itu juga dilihat sebagai usaha memperkaya industri seni tempatan dengan menonjolkan muzik sebagai medium penyatuan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Sebelum ini, kumpulan 1119 pernah mencetuskan fenomena melalui lagu Tahun Baru Cina bertajuk Fu Qi Ma Shang Lai (Good Fortune Comes Soon) yang memaparkan suasana meriah di kampung dan berjaya mencatat lebih 11 juta tontonan selain menjadi lagu tema di pelbagai pasar raya dan kedai serbaneka di seluruh negara.

Melalui “Goyang Raya”, kumpulan tersebut sekali lagi mengetengahkan tema kenangan pulang ke kampung serta kerinduan terhadap suasana desa yang menjadi nilai sentimental dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sementara itu, artis 1119, Eugene berkata beliau bersyukur dapat terlibat dalam rakaman lagu tersebut yang menurutnya membawa semangat perayaan yang lebih tradisional berbanding karya mereka sebelum ini.
Katanya, mempelajari tarian tradisional Melayu merupakan pengalaman mencabar kerana memerlukan kelembutan serta keanggunan yang berbeza daripada persembahan berkonsepkan K-pop atau sambutan Tahun Baru Cina yang biasa mereka bawakan.
Dalam pada itu, Zac Zac berkata beliau berasa seronok terlibat dalam penggambaran video muzik lagu tersebut kerana suasana di lokasi penggambaran sangat meriah dan dipenuhi tenaga positif.
“Saya harap orang ramai yang menontonnya dapat merasai kemeriahan dan kemesraan Hari Raya seperti yang kami rasakan semasa penggambaran,” katanya.
Penyanyi Meer Nash pula menyifatkan “Goyang Raya” sebagai lagu Raya pertamanya selepas 11 tahun berkecimpung dalam industri muzik.
Menurutnya, kolaborasi bersama 1119 sangat bermakna kerana ia mencerminkan latar belakangnya sebagai anak campuran Melayu dan Cina serta menonjolkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.
Beliau turut menyatakan bahawa proses rakaman serta penggambaran video muzik tersebut berjalan lancar dan menyeronokkan kerana melibatkan sekumpulan individu yang berkongsi minat yang sama terhadap muzik.
