Ebby Yus, Usop Gahai & Fuad Nasir Meriahkan Syawal Dengan ‘Jom Balik Raya’, Angkat Dialek Nogori
Suasana Aidilfitri tahun ini bakal lebih meriah dengan kolaborasi istimewa antara pelawak popular, Ebby Yus bersama dua jejaka berbakat, Usop Gahai dan Fuad Nasir menerusi single raya terbaharu berjudul “Jom Balik Raya.”
Lagu berentak ceria ini tampil dengan kelainan apabila menggunakan dialek Negeri Sembilan atau ‘Nogori’, sekali gus memberi sentuhan unik serta mengangkat kembali warna bahasa tempatan dalam karya hiburan.
Menurut komposer lagu itu, Pakya, idea menghasilkan lagu berkenaan sebenarnya bermula daripada Fuad Nasir sebelum mendapat sokongan daripada Luncai Emas yang bertindak sebagai pengedar digital serta pentadbir hak cipta karya ciptaannya sebagai komposer eksklusif.
“Pihak Luncai Emas memang menggalakkan saya menghasilkan lebih banyak lagu untuk artis komedi. Kebetulan Usop dan Fuad adalah finalis program Mencari Sepahtu Yang Hilang, di mana saya menjadi juri, manakala Ebby Yus pula tenaga pengajar mereka.
“Jadi saya fikir menarik juga kalau cikgu dan murid digabungkan semula dalam sebuah lagu raya,” katanya.
Pakya turut mendedahkan sisi Ebby Yus yang mungkin tidak diketahui ramai.
“Ramai tak tahu sebenarnya Ebby Yus boleh menyanyi dengan merdu, cuma sebelum ini beliau kurang pendedahan dalam bidang muzik,” katanya.

Bagi Ebby Yus pula, peluang bekerjasama dengan Usop dan Fuad memberi pengalaman menyeronokkan, lebih-lebih lagi kerana mereka berkongsi latar belakang yang sama iaitu berasal dari Negeri Sembilan.
“Saya seronok dapat bekerjasama dengan mereka. Selain sama-sama orang Negeri Sembilan, saya juga terlibat di belakang tabir sewaktu mereka bermula dahulu.
“Saya rasa sudah tiba masanya dialek Negeri Sembilan diangkat semula kerana penyanyi yang menggunakan dialek ini semakin berkurangan,” katanya.
Menariknya, lirik lagu ini turut diperhalusi secara kolektif oleh Ebby Yus bersama Fuad dan Usop bagi memastikan mesejnya lebih dekat dengan pendengar.
Fuad Nasir yang juga pempengaruh terkenal di aplikasi TikTok menyifatkan peluang bekerjasama dengan figura berpengalaman lebih 30 tahun seperti Ebby Yus sebagai satu penghormatan besar.
“Kami sengaja menggunakan loghat Nogori untuk menonjolkan kelainan. Walaupun melodinya ceria, lagu ini turut membawa elemen nostalgia serta nasihat yang disampaikan secara santai dan bergurau,” katanya.
Usop Gahai pula berkata, ilham lirik lagu ini diambil daripada pelbagai ragam perantau yang tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman menjelang Syawal.
“Harapan kami agar lagu ini menjadi siulan semua golongan serta memberi peringatan kepada anak-anak supaya tidak melupakan ibu bapa yang menunggu kepulangan mereka di kampung,” katanya.
Secara keseluruhannya, “Jom Balik Raya” bukan sekadar lagu bermusim, sebaliknya membawa simbolik kegembiraan selepas sebulan menunaikan ibadah puasa.
Melalui gandingan Ebby Yus, Fuad Nasir dan Usop Gahai, lagu ini diharap mampu menyuntik semangat kepada rakyat Malaysia untuk pulang meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Video muzik “Jom Balik Raya” boleh ditonton di saluran YouTube rasmi bermula 6 Mac, manakala lagu ini akan tersedia di semua platform penstriman digital bermula 13 Mac ini.
