Sakura Band Realisasi Impian Dengan Single Raya Pertama, “Raya Di Kampung”
Bersempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma, kumpulan pop rock tempatan, Sakura Band merealisasikan satu lagi impian dalam perjalanan seni mereka apabila tampil dengan single raya pertama berjudul “Raya Di Kampung.”
Lagu berkenaan mengetengahkan elemen nostalgia suasana pulang ke desa, namun disuntik dengan nafas muzik moden yang segar dan dekat dengan cita rasa pendengar masa kini.
Menurut anggota kumpulan yang juga mewakili Sakura Band, Mell atau Melley Matius, penerbitan lagu raya sebenarnya sudah lama berada dalam senarai impian mereka sejak awal penubuhan kumpulan itu.
“Lagu raya memang antara wishlist Sakura Band sejak dulu lagi. ‘Raya Di Kampung’ bertemakan balik kampung kerana kami mahu gambarkan perasaan seronok dan teruja untuk pulang beraya bersama keluarga.
“Idea lagu ini sebenarnya terinspirasi daripada lagu ‘Balik Kampung’ nyanyian Sudirman. Kami mahu cipta lagu balik kampung dengan muzik zaman sekarang, tetapi pada masa sama tetap mengekalkan rasa nostalgia raya itu,” katanya.
Mell berkata, proses kreatif menghasilkan lagu tersebut berlangsung secara spontan dan organik tanpa terlalu menekankan aspek teknikal yang berlebihan.

“Kami tak terlalu tekankan bahagian teknikal. Apa yang lebih penting, kami mahu pendengar rasa santai, enjoy dan benar-benar masuk dalam ‘mood’ balik kampung. Lagu ini memang dicipta supaya mudah didengar dan dekat dengan hati,” katanya.
Dari segi susunan muzik, “Raya Di Kampung” turut mengambil inspirasi daripada single terdahulu Sakura Band iaitu “Polaroid”, sekali gus mengekalkan identiti bunyi yang sudah sinonim dengan kumpulan berkenaan.
Namun, bagi memberikan kelainan sempena Aidilfitri, elemen tradisional Melayu turut disuntik dalam komposisi lagu tersebut.
“Kami masih kekalkan identiti Sakura Band berdasarkan lagu ‘Polaroid’, cuma untuk lagu raya ini kami gabungkan juga elemen tradisional Melayu supaya suasana raya itu lebih terasa,” katanya.
Melalui “Raya Di Kampung”, Sakura Band berharap lagu tersebut dapat membangkitkan kegembiraan dan keterujaan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama insan tersayang.

Malah, lagu itu juga ditujukan kepada mereka yang tidak berpeluang pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
“Kami nak semua orang rasa ‘happy’ dan enjoy bila dengar lagu ini. Bagi yang tak dapat balik kampung pula, kami harap lagu ini boleh buat mereka tetap rasa perasaan seronok itu walaupun mungkin tak dapat pulang beraya,” katanya.
Bagi Mell, lagu berkenaan turut membawa makna tersendiri buat Sakura Band kerana ia melambangkan satu pencapaian penting dalam perjalanan kerjaya mereka.
