Ernie Zakri & Syamel Angkat ‘Suasana Raya’ Ke Hong Kong, Promosi Raya Tanpa Sempadan
Kredit Foto: Fendy Ghafar
Sambutan Aidilfitri tahun ini tampil dengan pendekatan luar kebiasaan apabila lagu “Suasana Raya” bukan sekadar single perayaan, sebaliknya menjadi simbol penyatuan budaya dan pelancongan antara Malaysia dan Hong Kong.
Menerusi kolaborasi bersama Hong Kong Tourism Board, pasangan penyanyi popular Ernie Zakri dan Syamel membawa mesej bahawa Hari Raya boleh diraikan di mana sahaja, termasuk di kota metropolitan moden yang semakin mesra Muslim seperti Hong Kong.
Berbeza dengan kebiasaan lagu raya yang sinonim dengan suasana kampung halaman, “Suasana Raya” mengetengahkan naratif baharu iaitu pengalaman menyambut Syawal dalam persekitaran antarabangsa tanpa mengorbankan nilai tradisi.
Lagu ciptaan Adam Armin dan Yusuff Khan itu menggabungkan elemen klasik raya dengan sentuhan produksi moden, sekali gus menjadikannya segar dan relevan dengan gaya hidup masa kini. Visual muzik video pula memaparkan kepelbagaian budaya serta kemudahan mesra Muslim yang terdapat di Hong Kong.
Antara lokasi penggambaran termasuk Kowloon Mosque and Islamic Centre yang menjadi simbol komuniti Islam di kota berkenaan, selain restoran halal terkenal, Islamic Centre Canteen, yang menyajikan hidangan autentik seperti dim sum halal.

Tidak ketinggalan, taman tema popular Ocean Park Hong Kong turut menjadi latar, memperlihatkan Hong Kong sebagai destinasi percutian keluarga yang sesuai dikunjungi pada musim perayaan.
Pendekatan ini secara tidak langsung memposisikan Hong Kong sebagai alternatif buat rakyat Malaysia yang ingin merasai suasana raya berbeza, namun tetap selesa dan inklusif.
Dari sudut industri kreatif, kolaborasi ini membuktikan muzik mampu menjadi medium diplomasi budaya dan promosi pelancongan. “Suasana Raya” bukan sekadar runut bunyi Aidilfitri, malah berfungsi sebagai kempen visual memperkenalkan sisi mesra Muslim Hong Kong kepada pasaran tempatan.
Keserasian vokal Ernie dan Syamel yang sudah lama dikenali memberi kekuatan emosi kepada lagu ini. Namun, kali ini mereka tampil dengan tenaga lebih santai dan ceria, berbeza daripada karya balada yang sering menjadi identiti mereka sebelum ini.
Semangat kebersamaan yang menjadi tema utama lagu turut diterjemahkan menerusi sesi tontonan awal muzik video di Aurum Theatre, Kuala Lumpur yang menghimpunkan hampir 100 peminat terpilih sebelum pelancaran rasmi.
Momen eksklusif itu sekali gus mengukuhkan hubungan artis dan peminat, selari dengan mesej lagu mengenai kebersamaan dan penghargaan.

Apa yang membezakan “Suasana Raya” adalah keberaniannya mengangkat konsep ‘Raya Tanpa Sempadan’ bahawa nilai kekeluargaan, kesyukuran dan kegembiraan tidak terikat kepada lokasi geografi semata-mata.
Dengan melodi mudah diingati serta visual bertaraf antarabangsa, lagu ini dilihat berpotensi menjadi antara karya raya kontemporari yang terus dimainkan saban tahun.
“Suasana Raya” kini boleh distrim di semua platform digital utama.
