February 16, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

55,000 Jiwa Saksi Majlis Tertinggi Rockqueen: Ella Ukir Sejarah Di Bukit Jalil

Spread the love

Malam bersejarah terpahat kemas dalam lipatan industri muzik tanah air apabila 55,000 peminat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan konsert mega Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026 yang telah berlangsung pada 14 Febuari lalu. Satu perhimpunan yang mengangkat muzik sebagai bahasa penyatuan, cinta dan rindu.

Digelar Ratu Rock Malaysia, Ella, mencipta kejutan luar jangka apabila tampil mengelilingi stadium menaiki kenderaan dua tingkat sambil mendendangkan lagu ikonik Standing In The Eyes Of The World, sekali gus mengimbau detik bersejarah lagu itu diperkenalkan pada Sukan Komanwel 1998.

Lebih simbolik, segmen tersebut diserikan kehadiran empat atlet kebangsaan  Datuk Nicol David, Farah Ann Abdul Hadi, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli lantas menjadikan momen itu lambang penyatuan muzik dan semangat kebangsaan.

Konsert anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen itu dibuka dengan penuh dramatik menerusi persembahan 30 koir kanak-kanak sebelum Ella muncul tepat jam 8.30 malam dengan Rama-Rama, disambut sorakan gemuruh seisi stadium.

Berlangsung lebih tiga jam, Ella mempersembahkan 35 lagu, termasuk Kesal, Raguku, Bolero, Sembilu, Pedih, Rindu, Permata Pemotong Permata, Nuri, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan menutup tirai dengan Gemilang yang dinyanyikan penuh emosi.

Malam penuh magis itu turut dimeriahkan dengan deretan kolaborasi istimewa. Ella mengundang Amy Search untuk berduet menerusi Dua Insan Bercinta, manakala Joe Flizzow tampil bertenaga dengan Bayangan. Turut mencuri perhatian ialah gandingan bersama Tam Spider menerusi Dunia Batinku duet pertama mereka selepas 20 tahun.

Tidak ketinggalan, kemunculan Ella & The Boys, kumpulan yang mengangkat nama Ella di awal karier, serta penyanyi generasi baharu Amir Masdi (Baldu Biru) dan Sam Bunkface (Istimewah) membuktikan legasi Ella terus merentas zaman.

Segmen paling menyentuh perasaan adalah kemuncak Standing In The Eyes Of The World yang dinyanyikan beramai-ramai, diiringi alunan piano oleh pencipta asalnya Wah Idris, menjadikan stadium seakan satu suara.

Konsert ini turut menyelitkan segmen penghormatan khas kepada legenda muzik tanah air seperti Ramli Sarip dan M. Nasir, menghubungkan sejarah, warisan dan masa depan muzik Malaysia dalam satu naratif bermakna.

Lebih membanggakan, lebih RM100,000 berjaya dikumpulkan untuk disalurkan kepada pertubuhan kebajikan terpilih, membuktikan muzik bukan sekadar hiburan, tetapi juga wadah kemanusiaan. Acara ini turut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, kejayaan konsert ini adalah hasil dedikasi pasukan serta sokongan luar biasa peminat. Ella, atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, turut meluahkan rasa syukur atas kehadiran puluhan ribu penyokong yang membuktikan mesej Peace, Love & Rindu benar-benar hidup dalam jiwa rakyat.

Gelombang Majlis Tertinggi Rockqueen bakal diteruskan ke Singapura pada 9 Mei 2026 di The Star Theatre, membawa semangat yang sama ke pentas antarabangsa.

Namun di sebalik gemerlap produksi dan kehebatan persembahan, konsert ini adalah milik para peminat. 55,000 yang hadir bukan sekadar penonton tetapi mereka adalah sebahagian daripada sejarah.

Kerana akhirnya, inilah makna sebenar Majlis Tertinggi Rockqueen: bukan sekadar meraikan seorang Ratu, tetapi meraikan sebuah keluarga besar yang disatukan oleh muzik, cinta dan rindu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page