Wali Band ‘Bayar Hutang’ Rindu Peminat Sabah
Penantian yang tertangguh akhirnya terubat. Wali Band kembali ke Malaysia dengan satu misi jelas menebus kekecewaan peminat yang tidak kesampaian menyaksikan mereka beraksi sebelum ini, khususnya di Sabah.
Band popular dari Tangerang, Indonesia itu bakal menjayakan Konsert Wali Live In Kota Kinabalu di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 12 April 2026, selepas konsert yang dirancang pada 2024 terpaksa dibatalkan atas faktor di luar kawalan mereka.

Dianggotai Faank (vokal), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci), Wali Band mengakui mereka sendiri turut merasai kekecewaan peminat di Sabah yang terpaksa menelan hampa apabila konsert berkenaan tidak menjadi kenyataan.
Vokalisnya, Faank berkata, peluang kembali ke Kota Kinabalu kali ini dilihat sebagai masa terbaik untuk ‘membayar hutang’ rindu kepada peminat setia mereka di Borneo.
“Kami sendiri kecewa apabila konsert sebelum ini tidak dapat direalisasikan dan apa yang berlaku ketika itu di luar kawalan kami. Apabila menerima tawaran daripada 25th Studio & Infinity Love Creative Ventures, kami terus melihatnya sebagai peluang untuk menebus kekecewaan peminat,” katanya.
Menurut Faank, dia sedar masih ada peminat yang mungkin berasa was-was dengan pengumuman konsert kali ini, namun menegaskan Wali Band benar-benar komited untuk memastikan konsert tersebut menjadi kenyataan.
“Apa yang boleh kami katakan, tunggu sahaja kehadiran kami nanti. Kami tidak sabar untuk beraksi dan berjumpa secara dekat dengan peminat di Sabah,” ujarnya.
“Kami faham perasaan peminat di Malaysia. Sebab itu kami mahu kembali dengan konsert solo sendiri, dengan susunan lagu yang lebih padat dan persembahan yang lebih puas.
“Apa yang berlaku sebelum ini langsung tidak mematahkan semangat kami. Sebaliknya, ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Peminat boleh menjangkakan deretan lagu popular seperti Cari Jodoh, Yank, Baik Baik Sayang dan Nenekku Pahlawanku bakal menjadi antara kemuncak persembahan di konsert tersebut.

Bagi Konsert Wali Live In Kota Kinabalu, tiket mula dijual 12 Februari 2026 dengan harga RM688 – Cari Jodoh (VIP), RM488 – Yank (Gold), RM288 – Baik Baik Sayang dan RM98 – Nenekku Pahlawanku
Tiket boleh didapati menerusi www.ilassotickets.com, manakala maklumat terkini boleh diikuti di akaun media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram.
