Adam Corrie Angkat Kisah Iman & Persepsi Masyarakat Menerusi “Pan Mee”
Kredit Foto: Fendi Ghaffar
Dalam era tontonan pantas dan kandungan di hujung jari, pelakon dan pengarah Adam Corrie tampil dengan pendekatan berbeza menerusi drama vertikal Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa, sebuah karya yang menggabungkan kisah keimanan, rezeki dan persepsi masyarakat dalam bentuk penceritaan ringkas tetapi sarat makna.
Drama 15 episod arahan Adam Corrie bersama pengarah bersama, Ollyn Khadri itu dijadualkan menemui penonton secara eksklusif di platform TikTok dan Facebook rasmi Adam Corrie bermula 19 Februari ini, sekali gus mencerminkan perubahan landskap industri drama tempatan yang kini semakin condong kepada platform digital.
Walaupun tampil dengan format vertikal yang disesuaikan untuk tontonan telefon pintar, naskhah ini bukan sekadar eksperimen teknikal. Sebaliknya, ia lahir daripada pengalaman hidup sebenar Adam Corrie sendiri.
Menurutnya, idea asal drama berkenaan dicetuskan oleh isterinya sebelum beliau mengembangkan konsep itu menjadi skrip penuh dan membawanya ke peringkat produksi.

“Idea asal datang daripada isteri saya. Saya tulis skrip dan sinopsis, kemudian bincang dengan team, produser dan partner. Cerita ini memang ada kaitan dengan pengalaman hidup saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama berkenaan di Damansara Perdana pada 9 Febuari lalu.
Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa mengisahkan perjalanan seorang lelaki mualaf yang membuka gerai pan mee sebagai sumber rezeki, namun terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk persepsi masyarakat dan konflik keluarga.
Latar dunia makanan dan minuman dipilih kerana dekat dengan realiti sebenar Adam Corrie sebagai usahawan, termasuk isu tanggapan negatif terhadap status halal perniagaan yang sering dilemparkan tanpa usul periksa.
“Bila kita berniaga, ada orang terus bersangka buruk. Tengok orang Cina meniaga, terus kata tak halal. Sedangkan kami sedang memohon sijil halal. Saya nak sampaikan mesej supaya jangan cepat menilai orang lain,” ujarnya.
Menurutnya, isu sebegini kerap dibincangkan di media sosial, namun jarang diangkat secara terbuka dalam bentuk penceritaan drama.
Dari sudut pengarahan, Adam Corrie menjelaskan proses penggambaran dilakukan secara kolaboratif bersama Ollyn Khadri, terutama dalam aspek teknikal seperti sudut kamera dan visual.
Perancangan awal yang teliti membantu melancarkan perjalanan penggambaran, khususnya apabila beliau turut memegang watak utama dalam drama berkenaan.
“Kami bincang awal tentang sudut kamera dan visual. Bila saya berlakon, pengarah bersama akan pantau monitor. Sebab semua sudah dirancang, kerja di set jadi lebih lancar,” jelasnya.
Selain isu keimanan dan rezeki, drama ini turut menyentuh soal hubungan kekeluargaan dan toleransi budaya. Adam Corrie tidak menafikan pengalamannya sendiri banyak mempengaruhi penceritaan, termasuk reaksi netizen apabila beliau dilihat mengunjungi keluarga sempena sambutan Tahun Baharu Cina sebelum ini.

Beliau menegaskan kunjungan itu bertujuan mengekalkan hubungan kekeluargaan, bukan untuk menyertai ritual keagamaan.
“Walaupun agama saya berbeza dengan keluarga, mereka terima saya dengan baik. Saya tetap jaga silaturahim. Saya balik jumpa keluarga, tapi tidak terlibat dengan ritual mereka dan mereka faham,” katanya.
Menurutnya, salah faham sering berlaku di media sosial kerana konteks sebenar tidak selalu difahami sepenuhnya oleh masyarakat.
Dalam masa sama, pemergian ibunya baru-baru ini turut memberi kesan emosi mendalam kepada Adam Corrie dan secara tidak langsung mempengaruhi cara beliau melihat dan menyampaikan kisah dalam drama ini.
Beliau mengakui kehilangan itu meninggalkan rindu yang sukar diungkapkan, apatah lagi tidak sempat bertemu buat kali terakhir.
Gabungan pengalaman peribadi, tema sosial dan pendekatan digital menjadikan Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa sebuah karya yang bukan sahaja mengikuti arus perubahan industri, malah berani membuka ruang perbincangan tentang iman, penerimaan dan persepsi dalam masyarakat majmuk hari ini.
