February 11, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Di Bawah Langit Yang Sama: Ramadan Menyatukan Rasa & Rezeki di Saloma Kuala Lumpur

Spread the love

Di tengah siluet kota Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur, Ramadan hadir sebagai jeda yang memperlahankan langkah manusia lantas mengajak kembali kepada empati, kesederhanaan dan rasa syukur. Di Saloma Kuala Lumpur, makna itu diterjemahkan melalui konsep istimewa Ramadan 2026 bertemakan “Di Bawah Langit Yang Sama”, sebuah falsafah yang meraikan kebersamaan tanpa batas.

Menurut Presidennya, Datin Sri Dr. Riza Dato’ Che Umar, tema tersebut bukan sekadar slogan bermusim, sebaliknya refleksi nilai kemanusiaan yang menjadi teras Ramadan.

“Ramadan mengajar kita untuk kembali kepada nilai empati dan keinsanan. Di bawah satu langit yang sama, kita semua berkongsi rezeki, masa dan nikmat tanpa mengira latar belakang atau perbezaan,” jelasnya ketika sidang media dan pelancaran menu berbuka puasa di Salamo Kuala Lumpur pada 4 Febuari lalu.

Konsep ini meletakkan pengalaman berbuka puasa bukan sekadar tentang makanan, tetapi sebagai ruang pertemuan sosial dan spiritual, berlatar belakangkan panorama ikonik KL Tower serta deretan bangunan pencakar langit yang menyatukan kota dan insan di bawah satu langit yang sama.

Menariknya, Saloma Kuala Lumpur tidak mempamerkan kesemua 148 menu Ramadan yang disediakan tahun ini. Sebaliknya, hanya 112 menu akan diperkenalkan secara berperingkat, satu pendekatan yang disengajakan bagi mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan tetamu.

“Kami mahu orang tertanya-tanya, masih ada menu lain yang belum mereka cuba. Ramadan ini tentang pengalaman, bukan sekadar memilih hidangan,” ujar Chef Rizal, Ketua Cef Saloma Kuala Lumpur.

Pendekatan ini sekali gus menjadikan setiap kunjungan berbuka sebagai pengalaman baharu, seolah-olah sentiasa ada sesuatu yang menanti di sebalik meja hidangan.

Bagi yang tertanya-tanya tentang identiti sebenar Saloma Kuala Lumpur, jawapannya terletak pada hidangan tanda tangan yang kekal menjadi tarikan utama.

“Kalau ikutkan signature Saloma Kuala Lumpur, sudah tentu Kambing Bakar bersama Nasi Kebuli,” kata Chef Zainal.

Antara hidangan lain yang mencuri perhatian termasuk Buah Tamar Rendang Tok, Udang Bakar Masak Lemak Cekup, Daging Dinding, serta pelbagai sajian tradisi Melayu dan Nusantara yang dimasak secara langsung, menzahirkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.

Menu-menu ini akan dirotasi setiap tiga hari, memastikan variasi dan kesegaran rasa sepanjang bulan Ramadan.

Bagi musim Ramadan 2026, Saloma Kuala Lumpur menawarkan harga promosi bufet berbuka puasa RM138 (pembelian awal) bersih bagi dewasa, berbanding harga asal RM168, manakala kanak-kanak berusia 6 -12 tahun hanya RM98 bersih (termasuk warga emas 65 tahun dan ke atas)

Bufet beroperasi dari 7.00 malam hingga 11.00 malam, dengan kapasiti maksimum 920 tetamu pada satu-satu masa, disokong oleh lebih 740 kakitangan keseluruhan, termasuk 35 kakitangan tambahan khas untuk musim Ramadan.

Bagi tetamu yang ingin menunggu sahur, perkhidmatan turut disediakan dari 11.00 malam hingga 2.00 pagi, dengan pilihan menu terpilih yang dikemas kini mengikut kesesuaian waktu.

Selari dengan tema “Di Bawah Langit Yang Sama”, pengalaman berbuka puasa di Saloma Kuala Lumpur diraikan di ruang terbuka yang inklusif dan santai, lengkap dengan kemudahan keagamaan.

Dua surau lelaki disediakan di lokasi strategik, bersama tempat wuduk yang selesa, selain ruang solat terawih khas di kawasan Piramid bagi membolehkan tetamu menunaikan ibadah tanpa tergesa-gesa.

“Datang berbuka, terus solat. Semua sudah disediakan,” ujar wakil pengurusan ringkas.

Keseluruhannya, Ramadan di Saloma Kuala Lumpur bukan sekadar tentang hidangan atau suasana, tetapi sebuah perjalanan rohani dan sosial yang menyatukan manusia melalui rasa syukur, kemanusiaan dan kebersamaan.

Di bawah langit yang sama, Ramadan diraikan bukan dengan kemewahan semata-mata, tetapi dengan nilai yang mengingatkan kita siapa diri kita sebagai insan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page