February 11, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Pentas Barbarik Volume 2,  Bunyi yang Tidak Tunduk

Spread the love

Konsert Pentas Barbarik Volume 2 di Mega Star Arena, pada 31 Januari lalu bukan sekadar perhimpunan ribuan peminat muzik keras, tetapi sebuah pernyataan lantang bahawa muzik berat tempatan masih berdenyut, bernafas dan berkuasa.  Ianya bukan hidup melalui nostalgia semata-mata, tetapi terus mara dengan keyakinan generasi yang saling menyokong.

Bagai dijanjikan, pentas dibuka bukan dengan lagu, tetapi dengan dentuman niat. Tiga pemain dram  Ainol, Black dan Jojet berdiri sebagai poros utama malam itu, memulakan ritual pembukaan melalui segmen ‘drum battle’ selama tiga setengah minit yang bukan sahaja memecah sunyi, malah membelah masa. Setiap hentakan adalah dialog dan setiap pukulan, satu pernyataan ego dan disiplin muzik.

Apa yang diluahkan JoBranko sehari sebelum konsert sebagai ‘kerja gila’, nyata menjadi taruhan paling berani dan paling mengena. Segmen pembukaan itu bukan gimik, sebaliknya satu deklarasi identiti, bahawa Barbarik hadir sebagai entiti yang memahami akar, tetapi tidak takut mencabar bentuk.

Gabungan dua drummer ‘otai’, Jojet dan Black bersama Ainol yang mewakili generasi baharu, membentuk dialog rentas zaman yang jarang berlaku di pentas tempatan. Ia bukan pertarungan ego, tetapi simbiosis kuasa, pengalaman dan tenaga disatukan untuk mencipta bunyi yang mentah, jujur dan menggugah.

Sorakan lebih 5,000 penonton membuktikan satu perkara bahawa khalayak bukan sekadar mahu mendengar lagu, tetapi mahu merasai pengalaman.

Apabila dentuman reda dan lampu pentas kembali memusat, Barbarik tampil sebagai mesin yang bergerak lancar. Kehadiran Karl, gitaris Cromok sebagai pemuzik undangan, memperkukuh naratif malam itu. Walaupun kolaborasi Barbarik dan Karl bukan sesuatu yang asing, setiap pertemuan mereka di pentas sentiasa menghadirkan letupan emosi yang berbeza.

Gandingan Karl dan JoBranko di pentas adalah pertembungan dua karakter gitar yang matang di mana satu berpaksikan riff berlapis dan ketepatan teknikal, satu lagi bernafas dengan naluri dan jiwa. Tidak hairanlah ada peminat sanggup ‘terbang’ dari Sabah, Sarawak malah Singapura demi menyaksikan momen yang sukar digandakan di mana-mana pentas lain.

Di bahagian ritma, Rozaimi bersama Eddie pula berfungsi sebagai tulang belakang yang tidak goyah. Paduan bes dan gitar mereka mencipta ‘groove’ yang kemas, memberikan ruang kepada keseluruhan susunan muzik untuk bernafas tanpa kehilangan tenaga. Setiap petikan dan hentakan seolah-olah dikira, tetapi tidak pernah kehilangan rasa.

Lengkapnya susunan muzik turut dibantu oleh Lee selaku pemain keyboard, watak senyap yang sering terlepas pandang, namun menjadi elemen penyatu yang memberi dimensi tambahan kepada keseluruhan persembahan.

Namun, malam itu tetap berpusat kepada seorang figura iaitu Muss. Dengan vokal yang kekal bertenaga dan beremosi, Muss memimpin perjalanan hampir tiga jam tanpa tanda keletihan. Lebih 20 lagu dipersembahkan dengan disiplin dan karisma yang mengingatkan mengapa beliau masih relevan sebagai vokalis utama genre ini.

Antara lagu yang menyuntik adrenalin penonton termasuk Didakap Pesona, Kasmaran, Krisis Di Pertengahan Hidup, Padamkan Lampu, Peluru Cokelat dan Keris Tak Ada Sarung masing-masing disampaikan dengan intensiti yang tidak berkompromi.

Malam semakin bernilai apabila Mel, bekas vokalis Wings, muncul sebagai tetamu khas menyampaikan Lena Diulit Intan dan Ranjang Mawar daripada album Orang Asing (1995). Detik itu bukan sekadar nostalgia, tetapi penghormatan kepada satu era yang membentuk DNA muzik keras tempatan.

Konsert ‘Barbarik Volume 2” yang dianjurkan oleh Republic Mokhmah (Records) dan Pentas Barbarik Sdn Bhd tidak hadir sekadar sebuah konsert tetapi hadir dengan rekaan pentas yang terancang, penataan cahaya yang dramatik. Sistem bunyi yang seimbang hasil ‘arkitek’ bunyi Rahmad di Pentas Barbarik Volume 2 tampil sebagai produksi yang tidak kalah kepada persembahan band antarabangsa. Segala elemen digarap untuk satu tujuan demi memastikan muzik menjadi pusat, bukan sekadar hiasan visual.

Ketika tirai hampir dilabuhkan, Muss mewakili rakan-rakan lain mengumumkan perancangan konsert gabungan Barbarik dan Cromok yang akan diadakan pada 27 Jun ini di Idea Live , diikuti konsert Barbarik di Singapura pada 22 Mac depan. Konsert tersebut akan berlangsung di Esplanade Singapura, sekaligus memberi satu petanda bahawa perjalanan ini masih jauh dari noktah.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page