January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Healing Nite 2026: Apabila Muzik Menjadi Terapi dan Ingatan Kembali Bernyawa

Spread the love

Kredit Foto:  Bangsawan Pictures

Healing Nite 2026 yang berlangsung di Stadium Merdeka, pada 24 Januari lalu membuktikan bahawa muzik bukan sekadar persembahan pentas, tetapi satu medium terapeutik yang mampu menyentuh jiwa, menghidupkan kenangan dan merapatkan kasih sayang merentasi usia serta penyakit.

Di tengah kehadiran kira-kira 20,000 penonton yang membanjiri stadium bersejarah itu, satu kisah berdiri paling senyap namun paling kuat dimana hubungan istimewa antara penyanyi tersohor Anuar Zain dan peminat setianya, Rokiah Hamzah.

Rokiah, atau lebih mesra disapa Makcik Rokiah, berusia 81 tahun dan berasal dari Terengganu. Beliau merupakan peminat Anuar Zain sejak era awal kerjaya penyanyi itu sebagai artis kanak-kanak pada awal 1980-an. Lagu seperti Kain Pelekat menjadi sebahagian daripada memori hidupnya, terakam kemas dalam ingatan selama puluhan tahun.

Namun, pada usia senja, Makcik Rokiah mula menunjukkan tanda-tanda dementia. Banyak perkara dalam hidupnya semakin kabur, tetapi satu perkara kekal utuh iaitu Anuar Zain dan lagu-lagunya.

Pada malam Healing Nite 2026, Makcik Rokiah hadir ditemani hampir kesemua anak dan cucunya. Kehadiran mereka bukan sekadar untuk menonton konsert, sebaliknya menghadiahkan satu pengalaman yang mungkin tidak akan berulang,  melihat seorang ibu dan nenek kembali ‘hidup’ melalui muzik yang dicintainya.

Apabila Anuar Zain muncul di pentas dan mendendangkan lagu-lagu seperti Kau Bunga Cintaku, Keabadian Cinta, Sesucinya Cintaku dan Sedetik Lebih, Makcik Rokiah menyanyi bersama bait demi bait, tanpa ragu.

Dalam detik-detik itu, dementia seolah-olah mengalah. Ingatan yang sering terlerai kembali tersusun, dipandu oleh melodi dan lirik yang telah lama bersemayam di jiwanya.

Bagi keluarga Makcik Rokiah, momen tersebut menjadi hadiah paling berharga, satu detik di mana muzik berjaya mengembalikan sebahagian daripada diri insan tersayang mereka.

Tersentuh dengan kehadiran peminat setianya itu, Anuar Zain turun dari pentas untuk bertemu Makcik Rokiah.

“Saya doakan semoga mak cik Rokiah dikurniakan barakah dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jaga diri dan jumpa nanti,” kata Anuar, disambut sorakan penonton.

Dalam ucapannya sebelum itu, Anuar turut merakamkan penghargaan kepada semua peminat yang hadir.

“Terima kasih kerana memilih untuk ‘healing’ bersama kami malam ini. Marilah kita menyanyi bersama-sama,” katanya.

Persembahan Anuar Zain pada malam tersebut disampaikan dengan penuh ketenangan dan empati, selari dengan konsep konsert yang menekankan penyembuhan emosi. Iringan Chaan & The Leman Band menambah kehalusan muzik, membenarkan vokal Anuar berdiri di hadapan tanpa gimik berlebihan ringkas, jujur dan menyentuh.

Healing Nite 2026 turut menampilkan barisan artis ternama lain termasuk Ratu Rock Negara, Ella, yang tampil dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Layar Impian, Retak, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu. Dayang Nurfaizah membuka tirai konsert dengan Umpan Jinak Di Air Tenang, Lemah, Aku dan Lelaki Teragung.

Konsert ini juga dimeriahkan dengan kehadiran artis dari Indonesia, Lyodra dan Kangen Band, menjadikan Healing Nite 2026 sebuah pertemuan muzik serantau yang sarat emosi.

Dianjurkan oleh Kembar Nusantara Sdn Bhd dengan sokongan Creative Page Sdn Bhd bagi produksi serta Yumeca Sdn Bhd untuk strategi dan pemasaran, konsert ini berjaya mengangkat hiburan sebagai ruang yang lembut, berhemah dan memberi kesan positif kepada kesejahteraan emosi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn Bhd, Herman Aziz, konsep Healing Nite diwujudkan untuk membuktikan bahawa muzik mampu menjadi proses terapeutik apabila dikurasi dengan niat yang betul.

Dan kisah Makcik Rokiah menjadi refleksi paling jujur terhadap objektif tersebut apabila muzik bukan sekadar menghibur, tetapi menyentuh ingatan, emosi dan kasih sayang dalam satu masa.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page