‘Kertas Wangi’ — Dari Luahan Netizen Ke Jeritan Rap Nusantara
Di sebalik lambakan kandungan media sosial yang sarat keluhan, sindiran dan jeritan emosi masyarakat, duo rap berpengaruh tanah air Kmy Kmo & Luca Sickta memilih untuk mendengar lalu menterjemahkannya menjadi karya bernama Kertas Wangi, sebuah lagu yang lahir daripada suara netizen dan denyut realiti kehidupan moden.
Berbeza dengan karya yang lahir dari pengalaman peribadi semata-mata, Kertas Wangi tercetus daripada pemerhatian terhadap luahan pengikut mereka di media sosial cerita tentang tekanan hidup, keletihan mengejar wang, rasa kosong di sebalik gaya hidup mewah, serta keresahan melihat nilai manusia semakin diukur dengan harta dan pengiktirafan maya.
Menurut Kmy Kmo, media sosial hari ini menjadi diari terbuka masyarakat, dan di situlah benih lagu ini mula bercambah.
“Timeline penuh dengan luahan orang. Tentang kerja, duit, status, iri hati, penat hidup. Bila dibaca satu-satu, kita sedar ini bukan masalah individu, tapi masalah zaman,” katanya ketika ditemui media di Pasar Seni pada 24 Januari lalu.
Daripada luahan itu, lahirlah metafora ‘Kertas Wangi’ simbol wang yang kelihatan cantik, berkilau dan ‘berbau harum’, namun perlahan-lahan menutup mata dan hati manusia daripada nilai sebenar kehidupan.
“Netizen cerita mereka kejar duit sampai lupa diri, kejar gaya sampai hilang empati. Dari situlah idea lagu ini terbentuk,” tambah Kmy.

Bagi Luca Sickta, rap dipilih sebagai medium kerana sifatnya yang jujur, mentah dan terus kepada isu seiring dengan cara netizen meluahkan perasaan di media sosial tanpa tapisan.
“Rap memang lahir daripada suara jalanan. Media sosial hari ini ibarat jalanan digital. Apa yang orang luah di situ, itulah realiti sebenar,” jelasnya.
Menariknya, Kertas Wangi bukan sekadar rap moden yang terikut-ikut acuan Barat. Sebaliknya, lagu ini dibina atas roh rap Nusantara dengan gaya Malaysia, baik dari segi bahasa, emosi mahupun susunan muzik.
Elemen tradisi Pantai Timur, khususnya Dikir Barat, diserap secara halus dalam lapisan vokal latar dan ritma, menjadikan lagu ini berdiri di persimpangan antara moden dan tradisi tegas, namun berakar.
“Kami tak nak rap yang kosong identiti. Beat boleh moden, flow boleh keras, tapi jiwanya mesti Melayu, mesti Nusantara,” kata Luca.

Pendekatan itu menjadikan Kertas Wangi sebagai karya rap yang dekat dengan pendengar tempatan bercakap tentang realiti Malaysia, dalam bahasa dan nada yang mereka fahami.
Kmy pula melihat rap sebagai wadah paling berkesan untuk menyampaikan mesej sosial kepada generasi muda yang membesar bersama media sosial.
“Anak muda hari ini tak suka diceramahkan. Tapi bila mesej itu datang dalam bentuk rap, dari cerita yang mereka sendiri pernah tulis di medsos, ia jadi lebih mengena.”
Proses penghasilan lagu ini juga mencerminkan keserasian dua seniman dengan peranan berbeza tetapi hala tuju yang sama. Kmy menumpukan kepada penceritaan, mesej dan lirik yang berlapik sindiran, manakala Luca membentuk emosi melalui susunan muzik dan bunyi.
“Dia kumpul suara masyarakat, saya susun bunyinya. Bila digabungkan, ia jadi satu suara kolektif,” ujar Luca.
Pelancaran Kertas Wangi turut diraikan dalam suasana seni komuniti bersempena Hari Kantin by Pasar Seni anjuran Pesta Kita, simbolik kepada akar lagu ini yang lahir daripada suara rakyat dan ruang awam.
Bagi Kmy Kmo dan Luca Sickta, Kertas Wangi bukan sekadar single, tetapi cermin buat masyarakat menilai semula keutamaan hidup di era digital.
“Kalau orang dengar lagu ini dan teringat status yang pernah mereka tulis, itu bermakna mesej sampai,” kata Kmy.
Luca mendedahkan bahawa Kertas Wangi hanyalah pembuka tirai kepada fasa baharu perjalanan muzik mereka, dengan lebih banyak karya rap Nusantara beridentitikan Malaysia bakal menyusul.

Majlis Pelancaran Single tersebut turut menyaksikan penyerahan plak single Kertas Wangi oleh Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong, kepada dua figura rap yang kini semakin matang dalam karya dan pemikiran
Single Kertas Wangi, terbitan Sony Music Entertainment Malaysia, kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music sejak 21 November 2025.
