Empat Dekad Menyepi, Fauziah Latiff Kembali, KLCC Jadi Saksi Malam ‘Intim’ Peminat
Selepas empat dekad mengukir sejarah sebagai antara ikon wanita paling berpengaruh dalam muzik tanah air, penantian peminat akhirnya berakhir apabila Fauziah Latiff bakal tampil dengan konsert solo berskala besar yang dianggap paling dinanti sepanjang kariernya.
Diberi judul 4 Decades Fauziah Latiff Live In Concert, konsert eksklusif anjuran Ideatelier itu dijadual berlangsung pada 9 Mei 2026 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) sekali gus menjadi konsert solo pertama Fauziah Latiff selepas 40 tahun bergelar legenda.
Bukan sekadar persembahan, konsert ini disifatkan sebagai sebuah perayaan emosi, nostalgia dan penghargaan kepada perjalanan seni yang merentas generasi, dari era 1980-an hingga ke hari ini.
Dikenali sebagai artis yang sangat selektif, Fauziah atau mesra disapa Kak Ji mengakui menerima banyak tawaran konsert setiap tahun, namun memilih untuk menunggu saat, pasukan dan niat yang benar-benar diyakini.

“Setiap tahun memang ada yang bertanya bila saya mahu buat konsert. Tetapi bagi saya, prinsip dan etika kerja sangat penting. Apabila saya melihat cara pasukan Ideatelier bekerja daripada sistem, persediaan hingga ke visi kreatif saya benar-benar kagum. Itu yang meyakinkan saya,” katanya ketika sidang media konsert berkenaan di Mandarin Oriental Kuala Lumpur pada 21 Januari lalu.
Menurut penyanyi lagu malar segar Dia, Enggan, Teratai Layu Ditasik Madu dan sebagainya itu menyatakan bahawa konsert berkenaan bukan sekadar tentang nyanyian, sebaliknya peluang untuk membeli kembali nostalgia kepada peminat yang membesar bersama karya-karyanya.

“Projek ini besar dan mencabar. Ada masa saya sendiri rasa bimbang. Tetapi ini peluang untuk saya membawa penonton kembali ke memori lama, menikmati lagu-lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup kita,” katanya.
Menariknya, konsert ini turut disusun bersempena sambutan Hari Ibu, menjadikan malam berkenaan sebuah penghormatan kepada wanita, kasih sayang, pengorbanan dan kekuatan yang menjadi nadi kehidupan.
Dengan pemilihan lagu penuh emosi, Fauziah Latiff akan membawa penonton menelusuri kisah cinta, kehilangan, harapan dan perjalanan hidup menjadikan malam itu lebih dekat di hati, khususnya buat yang membesar bersama lagunya.
“Setelah sekian lama saya memperlahankan langkah, saya rasa inilah waktunya untuk kembali bertemu peminat dalam sebuah konsert yang benar-benar istimewa. Lebih-lebih lagi apabila ia jatuh hampir dengan Hari Ibu, ia satu momen yang sangat dekat di hati saya,” katanya.
Konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live In Concert bakal menghimpunkan barisan lagu ikonik yang menjadi tanda aras perjalanan seninya, antaranya Dia, Sekali Ini Saja, Teratai Layu Di Tasik Madu, Setia Ku Korbankan dan sebagainya.
Setiap lagu akan dipersembahkan dengan susunan muzik baharu yang lebih segar dan megah, tanpa menghilangkan roh asal karya, sekali gus memberikan pengalaman lebih intim dan eksklusif kepada penonton di Plenary Hall KLCC.

Pengarah Ideatelier merangkap penganjur konsert, Ezuwan Ismail, menyifatkan penganjuran konsert ini sebagai sebuah tanda hormat terhadap legasi seni Fauziah Latiff.
“Fauziah Latiff ialah sebuah nama yang dibina dengan aura bintang yang tidak pernah dipinjam daripada sesiapa. Ini adalah konsert solo pertamanya selepas 40 tahun, jadi kami mahu ia dibina dengan standard tertinggi,” katanya.
Menurut Ezuwan, setiap elemen konsert bermula daripada produksi, susunan persembahan, visual hingga emosi dirancang dengan teliti bagi memastikan penonton pulang dengan kepuasan maksimum.
“Kami mahu penonton rasa mereka menyaksikan konsert yang paling bermakna, paling berkualiti dan paling ‘mahal’ dari segi emosi dan pengalaman,” katanya.
Konsert ini turut menawarkan pakej Super VIP bernilai RM6,999, terhad kepada hanya 36 orang, lengkap dengan pengalaman eksklusif termasuk Meet & Greet, fine dining bersama Fauziah Latiff serta persalinan couture rekaan Ezuwan Ismail bernilai RM15,000.

Peminat juga boleh memiliki tiket katagori lain iaitu Dari Kaki Tangga Ke Menara (VIP): RM1,299, Teratai Layu Di Tasik Madu: RM899, Kau Merubah Segalanya: RM699, Yang Lebih Kau Cinta: RM599, Apa Sebenarnya: RM399 dan Enggan: RM299
Pembelian boleh dibuat menerusi www.ticket2u.com.my/fauziahlatiff
