Wings ‘Terbang Semula’, Pae & Ilham Ishak Lancar Era New Wings
Kumpulan rock legenda tanah air, Wings, secara rasmi memperkenalkan dua anggota baharu apabila pemain bass Ilham Ishak (Am) dan pemain dram Pae kini sah menyertai band ikonik itu.
Perkara berkenaan diumumkan oleh vokalis Wings, Datuk Awie, pada sidang media Konsert Wings Orang Kita yang berlangsung di Lalapot Kuala Lumpur pada 16 Januari, sekali gus menandakan bermulanya fasa baharu dalam perjalanan seni kumpulan yang sudah menjangkau usia lebih empat dekad.
Menurut Awie, kemasukan dua pemuzik berpengalaman itu adalah satu misi penting demi memastikan kelangsungan Wings sebagai sebuah jenama besar dalam industri muzik tempatan.

“Dengan adanya ahli baharu, kita mahu meneruskan perjuangan Wings yang sudah mencecah usia 40 tahun. Wings adalah sebuah band yang terlalu kukuh untuk dibiarkan rapuh. Sangat rugi kalau kita biarkan ‘sayap’ itu patah,” ujarnya.
Awie turut menyifatkan kehadiran Pae dan Ilham sebagai satu takdir yang tepat pada waktunya, apatah lagi kedua-duanya mempunyai latar belakang muzik yang kukuh serta dihormati dalam kalangan penggiat seni.
Pae dipilih secara lantikan terus berdasarkan reputasinya sebagai pemuzik profesional yang pernah bekerjasama dengan kumpulan rock gergasi seperti Search, XPDC dan Amuk.
“Pae ini kita handpick. Profilnya jelas, pengalaman luas dan dia memang berada dalam liga pemuzik besar. Itu yang membuatkan kami yakin,” jelas Awie.
Sementara itu, Ilham Ishak pula dipilih menerusi proses uji bakat yang teliti. Awie mengakui bakat pemain bass muda itu dapat dikesan sebaik sahaja sesi uji bakat berlangsung.
“Ilham saya buat uji bakat. Bila saya lihat dia berdiri dan mula memetik bass, saya tahu dia layak. Walaupun masih muda, kebolehan dan potensinya sangat besar,” tambahnya.

Awie turut mendedahkan Wings kini berada dalam fasa membentuk ‘gelombang baharu’ atau ‘New Wings’, termasuk perancangan untuk merakamkan album terbaharu yang dijangka dimulakan pada Ramadan akan datang.
Bagi memperkukuh struktur muzik kumpulan itu, Wings turut melantik gitaris terkenal Edrie Hashim sebagai Pengarah Muzik, yang akan menentukan hala tuju muzik untuk album serta konsert akan datang.
“Kami sepakat melantik ketua muzik yang akan membuka sesuatu yang baharu, lebih elok dan lebih murni. Ini adalah strategi penting untuk membina empayar Wings pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Pae yang sebelum ini dikenali sebagai pemuzik projek Dragon Malaya bersama Awie, menyatakan tekadnya untuk membawa identiti tersendiri tanpa dibayangi pemain dram terdahulu.
Wings bakal kembali menggegarkan pentas menerusi Konsert Wings Orang Kita yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari 2026.

Dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya satu penghargaan buat peminat setia Wings yang digelar “Orang Kita”, selain memberi peluang kepada mereka yang terlepas menyaksikan Konsert Wings 40 Tahun.
Tiket ditawarkan pada harga bermula RM148 hingga RM8,800, merangkumi kategori Rockzone Standing, Rockzone Seating, Premium Seat dan VIP Box.
Masih berbisa, penuh jiwa dan sarat emosi, Wings Orang Kita dijangka menjadi malam yang meraikan legasi, perubahan serta masa depan kumpulan rock ikonik tanah air itu bersama peminat setia.
