January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ilmu, Keadilan dan Kekeliruan Zaman: Sebuah Wacana Tentang Kehidupan Moden

Spread the love

Buku Putting Everything In Its Proper Place Karya Kamarudin Abu Bakar Mengajak Pembaca Menilai Semula Makna Kemajuan, Peranan Ilmu Dan Keadilan Dalam Dunia Yang Semakin Terpisah Daripada Nilai Kemanusiaan.

Kredit Foto: Subky Hj Bebit

Di sebalik kemajuan pesat teknologi, pembangunan ekonomi dan kemewahan material, wujud satu kekeliruan senyap yang semakin meresap dalam kehidupan moden maka kekeliruan tentang makna, keadilan dan kedudukan sebenar ilmu dalam membentuk manusia dan masyarakat.

Kekeliruan inilah yang menjadi teras kepada buku Putting Everything in Its Proper Place, karya Kamarudin Abu Bakar, yang dilancarkan dalam sebuah majlis berunsur intelektual dan reflektif anjuran Archiater Studio Sdn. Bhd. di Zezz Residence, Country Heights Damansara, pada Khamis, 15 Januari 2026.

Majlis pelancaran tersebut menghimpunkan peminat buku, ilmuwan, cendekiawan serta tokoh industri, sekali gus mencerminkan sifat karya berkenaan yang tidak sekadar bersifat bacaan santai, sebaliknya mengajak pembaca berfikir secara mendalam tentang arah kehidupan moden.

Buku ini merupakan sebuah karya renungan yang berpaksikan pengalaman hidup penulis merentasi era pasca-kemerdekaan Malaysia, dunia korporat dan industri perbankan, selain pencarian intelektual yang menyentuh persoalan falsafah, etika dan keimanan. Ia tidak ditulis sebagai manifesto politik, hujah keagamaan atau autobiografi semata-mata, sebaliknya menggabungkan naratif peribadi dengan analisis sosioekonomi dari sudut pandang penulis.

Melalui gaya penyampaian yang jelas dan tegas, Kamarudin menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan masyarakat yang terlalu mengejar kemajuan material sehingga mengorbankan kejelasan makna, adab terhadap ilmu, pekerjaan dan kepercayaan. Beliau mengajak pembaca berhenti seketika untuk menilai persoalan asas kehidupan, termasuk kesan sistem ekonomi moden terhadap nilai kemanusiaan serta implikasi pembangunan tanpa pertimbangan moral.

Kamarudin menjelaskan bahawa buku tersebut adalah himpunan pemikiran dan penulisan beliau sepanjang 17 tahun di media sosial, khususnya berkaitan ekonomi, perbankan dan sistem kewangan. Berbekalkan latar belakang dalam bidang teknologi maklumat, perniagaan dan perakaunan, beliau berkongsi pandangan kritis terhadap sistem perbankan Islam dan konvensional yang menurutnya, dari sudut kaedah pengiraan, sering kali tidak jauh berbeza.

Beliau turut menyentuh isu asas sistem ekonomi global seperti penciptaan wang, inflasi dan kejatuhan nilai mata wang yang menurutnya berpunca daripada reka bentuk sistem itu sendiri, dan bukan semata-mata kegagalan kerajaan atau pentadbiran.

“Wang sepatutnya difahami sebagai alat perantaraan jual beli, bukan sesuatu yang diidealkan sehingga manusia sanggup berhutang dan berbelanja melebihi kemampuan,” katanya.

Menurut Kamarudin, mesej paling utama yang ingin disampaikan menerusi buku ini ialah kepentingan ilmu yang mendalam dalam memahami dan menyelesaikan permasalahan kehidupan.

“Banyak masalah tidak boleh diselesaikan pada tahap cetek, sekadar halal atau haram semata-mata. Kita perlu berfikir lebih jauh dan meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya,” ujarnya.

Judul Putting Everything in Its Proper Place pula diinspirasikan daripada pemikiran tokoh ilmuwan Islam, Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang mentakrifkan keadilan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya yang benar. Menurut Kamarudin, ketidakadilan wujud apabila banyak perkara dalam kehidupan moden termasuk ilmu, wang dan kuasa berada di luar kedudukan yang sepatutnya.

Selain mengupas wacana ekonomi dan falsafah, Kamarudin turut menyeru generasi muda agar membina kehidupan berteraskan etika, mencari rezeki secara jujur, menjauhi penipuan dan rasuah serta mengasah kemahiran bernilai sehingga sanggup dibayar oleh orang lain. Beliau juga menggalakkan budaya membaca dan pemikiran kritis sebagai asas membentuk masyarakat yang berilmu, berdaya tahan dan tidak mudah terperangkap dalam arus kebendaan semata-mata.

Buku Putting Everything in Its Proper Place kini ditawarkan dalam edisi kulit lembut pada harga RM70 dan boleh diperoleh melalui laman web rasmi penerbit, selain bakal diedarkan ke kedai-kedai buku terpilih.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page