January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

The Pilgrims Kembali Dengan “Nur”,  Lagu Kolaborasi Penuh Emosi & Spiritual

Spread the love

Legenda muzik underground Malaysia, The Pilgrims, kembali menyentuh jiwa peminat dengan single terbaru berjudul “Nur” sebuah karya berkonsep cinta, spiritual dan penuh sebutan emosi yang juga menampilkan kolaborasi menarik bersama Aru (yang lebih dikenali sebagai frontman koffin kanser, Republic Of Brickfields dan Nemesis).  Lagu ini akan dimuatkan dalam album terbaharu The Pilgrims yang akan meneui peminat tidak berapa lama lagi.

Ditubuhkan pada tahun 1987 di Kuantan, Pahang, The Pilgrims mengukir nama dalam persada muzik tempatan sebagai sebuah kumpulan thrash punk rawk yang berakar kuat dalam scene underground sejak awal pembentukan mereka bermula dengan demo Pilgrimage To Nowhere dan album pertama Perfume Garden pada tahun 1992.

Nama mereka terus menjadi sebutan dengan beberapa album penting seperti Away From The Numbers (1994), Da Capo (1996) dan Achtung! This Is Not A Metal Band (2000), yang menunjukkan evolusi muzik mereka daripada punk ke arah bunyi yang lebih berat dan pelbagai.

“Nur” pula membawa lembaran baru dalam perjalanan The Pilgrims. Lagu ini bukan sekadar luahan cinta ia digubah dengan nuansa spiritual dan citra emosi yang mendalam, mencerminkan keterbukaan kreatif serta pengalaman hidup artis yang terlibat. Rakaman dan proses pemantapan lagu ini berjalan di studio profesional bersama sesi mastering akhir, di mana setiap elemen muzik diolah rapi bagi memberikan impak maksimal kepada pendengar.

Uniknya, selain barisan asal The Pilgrims, lagu ini menampilkan Aru, figura yang cukup dikenali dalam kalangan peminat muzik underground melalui band-band beliau seperti koffin kanser, Republic Of Brickfields dan Nemesis menjadikan “Nur” sebuah titik perpaduan gaya muzik serta pengalaman artistik yang unik dan menarik untuk didengari.

Kombatt selaku gitaris The Pilgrims menyatakan bahawa “Nur” bukanlah sekadar single biasa ia adalah eksplorasi terhadap kehidupan, cinta yang lebih bermakna serta ekspresi jiwa yang sukar diungkapkan melalui muzik lain.

“ Kami percaya karya ini akan menjadi salah satu karya yang bakal dirasai dan dihargai bukan sahaja oleh peminat lama tetapi juga generasi baru.  Apa yang lebih menarik lagu ini adalah karya ‘lain’ daripada karya sebelum ini”, ujarnya ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.

Aru pula berkongsi bahawa kolaborasi ini bukan sahaja tentang muzik, tetapi juga tentang hubungan persahabatan yang lama terjalin dalam dunia muzik underground tempatan.

“Saya rasa terhormat dapat menyumbang idea di ‘Nur’. Lagu ini bagi saya bukan sekadar tentang cinta biasa ia lebih kepada cinta yang mendalam kepada kehidupan, pengalaman dan pemahaman diri”, ujarnya.

“Kolaborasi ini bukan sekadar muzik, tetapi juga penghargaan terhadap persahabatan lama dalam dunia muzik underground. Lagu ini bukan tentang cinta monyet, tetapi cinta kepada kehidupan, pengalaman dan pemahaman diri,” jelasnya.

Rakaman dan pemantapan lagu dilakukan di studio milik Bakry, termasuk sesi mastering, menjadikan setiap elemen muzik diolah dengan rapi agar pendengar benar-benar merasai impaknya.

Menurut Aru, proses lagu ini spontan tetapi penuh kedalaman spiritual, sesuai dengan usia dan pengalaman artis yang terlibat.

Buat peminat muzik underground dan mereka yang menghargai karya kreatif berjiwa, “Nur” adalah satu pengalaman mendengar yang unik dan menyentuh hati. The Pilgrims juga sedang merancang video muzik rasmi, bagi memberi pengalaman visual yang selari dengan mesej lagu ini.

Seperti kata Kombatt, “Kami bukan sekadar band nostalgia. Kami terus berkembang dan berani bereksperimen agar muzik kami tetap relevan, mendalam dan dirasai semua generasi.”


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page