“Kata-kata Kembara Seorang Jaga”
Travelog Puisi Seorang Pengawal Keselamatan Menakluk Dunia Dengan Jiwa
Dalam landskap kesusasteraan kontemporari Malaysia, karya yang menggabungkan perjalanan fizikal dengan renungan batin bukanlah sesuatu yang asing. Namun, Kata-kata Kembara Seorang Jaga karya Mat Rosmin Daud hadir sebagai sebuah naskhah yang menyegarkan bukan sahaja kerana kejujuran penceritaannya, tetapi juga kerana latar sosok penulisnya yang jauh daripada stereotaip pengembara elit.
Bermula sebagai seorang pengawal keselamatan, Mat Rosmin Daud, anak jati Pasir Mas, Kelantan, membuktikan bahawa pengembaraan tidak semestinya milik golongan berada. Dalam tempoh kira-kira 15 tahun sejak 2010, beliau telah menjejakkan kaki ke 41 buah negara daripada 195 negara di dunia, satu pencapaian luar biasa bagi seorang rakyat kebanyakan yang hidup dengan disiplin, kesederhanaan dan tekad.

“Buku ini bukan sekadar tentang pengembaraan fizikal saya, tetapi juga tentang perjalanan batin yang saya alami sepanjang menjadi pengawal keselamatan. Ada kalanya kita terperangkap dalam rutin harian yang kelihatan biasa, tetapi sebenarnya setiap hari itu adalah peluang untuk kita menjelajahi dunia dalam erti kata yang lebih luas”, ujarnya ketika ditemui di Café Kopi & Pantun di Shah Alam pada 11 Januari lalu.
Beliau turut menekankan bahawa pengembaraan tidak semestinya harus mahal atau bergantung kepada latar belakang kewangan. Dengan strategi penjimatan yang bijak, disiplin dalam perancangan, dan ketekunan, beliau membuktikan bahawa sesiapa sahaja, termasuk golongan berpendapatan sederhana, boleh melangkah keluar dari rutin harian untuk menjelajahi dunia.
Pengalaman mengembara merentasi benua membuka ruang pemahaman yang luas terhadap kepelbagaian budaya, bahasa dan cara hidup. Daripada lorong-lorong sunyi kota asing hingga pertemuan singkat dengan manusia daripada latar berbeza, setiap perjalanan membentuk cara fikir yang lebih terbuka dan empati terhadap dunia. Hingga kini, Mat Rosmin masih belum berhenti mengembara dan menyimpan hasrat untuk menambah lagi senarai negara yang ingin diterokai.
Kisah hidupnya menjadi inspirasi khususnya kepada golongan muda dan pekerja biasa bahawa impian tidak seharusnya dibatasi oleh latar belakang atau kekangan kewangan. Dunia, seperti yang dibuktikannya, terbuka kepada sesiapa sahaja yang berani melangkah dan berusaha.
Kata-kata Kembara Seorang Jaga bukan sekadar catatan perjalanan. Ia merupakan refleksi kehidupan yang diolah melalui puisi, catatan naratif dan renungan ringkas sederhana dari segi bahasa, tetapi mendalam dari segi makna. Setiap tulisan seolah-olah serpihan pengalaman yang dipetik daripada perjalanan merentas budaya dan pertemuan manusia yang berbeza-beza.
Menariknya, Mat Rosmin juga diiktiraf sebagai satu-satunya individu berstatus Pengawal Keselamatan di Malaysia yang telah menjelajah lebih 40 buah negara, menjadikan karya ini bukan sahaja unik dari sudut kandungan, tetapi juga dari sudut latar penulis.
Beberapa tokoh yang telah membaca naskhah ini turut memberikan pandangan positif. Penulis dan pemikir Azman Hussin memuji keaslian perspektif Mat Rosmin, menyifatkan bahawa kata-kata yang digores “menyerap pengalaman daripada 41 buah negara yang telah dilaluinya.” Komposer Sufi Kecil (Shahnazron) pula merasakan buku ini sebagai perkongsian yang bukan sekadar dilihat, tetapi dirasai. Sementara itu, Hasbullah Najib, CEO Muslim Volunteer, melihatnya sebagai interpretasi pengalaman hidup dalam bentuk puitika moden yang “simplistik tetapi sarat dengan nasihat praktikal.”
Pemilik Toko Hijau Book Valley, Khair Zawawi, menggambarkan naskhah ini sesuai dinikmati dalam suasana sunyi sambil menghirup kopi panas, berbaring di hammock, atau merenung alam sendirian.
Salah satu kekuatan utama buku ini ialah gaya penulisannya yang minimalis tetapi berkesan. Mat Rosmin mengelak retorik berlebihan, sebaliknya memilih kata-kata yang padat, mengalir dan mudah dihayati. Pendekatan visual buku yang dihiasi ilustrasi santai dan tipografi mesra pembaca menjadikan pengalaman membaca seolah-olah duduk bersebelahan seorang “jaga” yang setia memerhati dunia, lalu berkongsi kisahnya dengan jujur.
Melalui simbolisme kucing “jaga” yang setia, pembaca diajak merenung makna kesunyian, kesetiaan dan perjalanan hidup bahawa setiap individu mempunyai laluan sendiri yang penuh liku, hanya difahami melalui pengalaman dan pemerhatian.
Diterbitkan oleh Kaukab sebagai Edisi Pecah Tanah Tanpa ISBN, buku ini dicetak terhad kepada 50 naskhah sahaja. Manakala naskhah seterusnya akan tercetak ISBN, ia dijual pada harga RM40 (Semenanjung) dan RM45 (Sabah & Sarawak), dengan RM5 daripada setiap jualan disalurkan untuk tujuan kebajikan
Secara keseluruhan, Kata-kata Kembara Seorang Jaga bukan sekadar sebuah buku puisi atau travelog. Ia adalah refleksi tentang kehidupan, perjalanan dan pencarian diri diceritakan melalui mata seorang pengembara berhati lembut yang setia menjaga jiwa, sambil dunia terus berputar di hadapannya.
