January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Rock Untuk Masyarakat 2: Nafas Bawah Tanah Terus Berdenyut Di Singapura

Spread the love

Kredit Foto:  PapaDin

Muzik rock tempatan Singapura masih bernafas dan terus melawan arus. Buktinya, lebih 300 penonton membanjiri sebuah persembahan berskala intim berjudul Rock Untuk Masyarakat – 2, yang berlangsung di Singapura pada 27 Disember lalu.

Itulah semangat yang diterjemahkan menerusi sebuah persembahan rock berjudul Rock Untuk Masyarakat – 2, yang berlangsung di Singapura pada 27 Disember lalu. Acara ini menghimpunkan barisan kumpulan tempatan seperti Episodic, Elemental & Frendz, D’OtaiBoyz, Diorama, Korokodel dan The Flow, sekali gus berjaya memukau lebih 300 penonton yang hadir memberi sokongan.

Persembahan terlebih dahulu dimulakan oleh The Flow yang telah membawakan 5 buah lagu termasuk karyaan sendiri antaranya adalah Cobalah Mengerti, Kotak Hati, Biarlah dan Cinta Dewiku.  Selepas itu tampil pula Episodic yang berpaksikan Symphonic Rock, mereka turut tampil dengan 5 buah lagu bersama 2 buah lagu ciptaan sendiri yang berjudul Suatu Masa Dulu dan Allysya Dania.

Showcase Rock Untuk Masyarakat – 2 diteruskan dengan persembahan D’OtaiBoyz yang pertaruhkan 2 buah karyaan mereka iaitu Permata Ku dan Erna Helina.  Pengalaman beraksi di beberapa pentas di Singapura dan Malaysia dimanfaat sebaik mungkin bagi memberi ruang kepada khalayak untuk larut bersama muzik dambaan mereka.  Korokodel turut tidak ketinggalan memberikan ‘impak’ kepada showcase kali ini.

Peminat terus dijampi bersama Elemental & Frenz bersama lagu ciptaan sendiri yang berjudul Biarkan. Diorama juga tidak kurang hebat, mereka mempertaruhkan Sanubariku, Vendetta, Anti Romantis dan Sepi Yang Indah yang nyata meninggalkan nostalgia buat penonton yang menyaksikan persembahan pada malam itu.

Tanpa gimik berlebihan, Rock Untuk Masyarakat – 2 tampil sebagai platform buat pemuzik tempatan mempertaruhkan karya sendiri, selain mengubat kerinduan peminat terhadap persembahan rock yang jujur dan dekat dengan realiti.

Menurut Luqman, pemain papan nada kumpulan D’OtaiBoyz yang juga antara penggerak acara, penganjuran konsert ini lahir daripada keinginan peribadi untuk mengangkat semula bakat tempatan yang semakin terpinggir.

“Saya sudah lama ingin terlibat dalam acara yang memberi fokus kepada bakat tempatan. Pada hari ini, kebanyakan acara lebih cenderung menampilkan band dan artis dari luar negara,” katanya ketika ditemui usai persembahan.

Tambah Luqman, keadaan tersebut secara tidak langsung menyebabkan kehadiran artis tempatan semakin berkurangan di pentas sendiri, sedangkan ramai dalam kalangan mereka masih aktif berkarya dan memiliki potensi besar.

“Justeru, saya ingin masyarakat lebih mengenali kebolehan serta potensi seni yang ada di Singapura. Ini sesuatu yang wajar kita hargai dan banggakan,” jelasnya.

Pemilihan kumpulan yang terlibat dalam Rock Untuk Masyarakat – 2 bukan dibuat secara rawak. Setiap band dipilih berdasarkan satu kriteria utama dan harus mempunyai karya dan produk sendiri. Prinsip ini selari dengan visi acara yang mahu menonjolkan keaslian dan kesungguhan pengkarya tempatan, bukan sekadar persembahan kosong tanpa identiti.

Sebelum ini, Luqman juga pernah menganjurkan beberapa acara berskala kecil untuk tontonan umum, antaranya Rock Fest 2024 di bawah payung LP Productions, yang berlangsung pada Disember 2024.

Menariknya, percubaan pertama Luqman dalam menganjurkan konsert bermula ketika dunia berdepan pandemik Covid-19. Pada tahun 2022, beliau mengadakan sebuah acara Hari Raya dalam format hibrid, menggabungkan persembahan fizikal dan siaran dalam talian satu langkah berani dalam situasi penuh keterbatasan.

Mengulas tentang identiti dan kekuatan penggiat muzik tempatan Singapura berbanding rakan-rakan di seberang Tambak, Luqman melihat realiti itu sebagai satu keunikan tersendiri.

“Penggiat muzik di Singapura rata-ratanya mempunyai pekerjaan sepenuh masa. Namun, di sebalik komitmen tersebut, mereka masih aktif dalam bidang seni,” katanya.

Menurutnya, situasi itu menjadi perbezaan paling ketara jika dibandingkan dengan pemuzik di negara jiran. Namun, cabaran tersebut tidak pernah memadamkan semangat.

“Walaupun berdepan pelbagai kekangan, bakat tempatan tetap mampu menunjukkan semangat yang tinggi dalam berkarya dan terus memperjuangkan seni di Singapura.”

Rock Untuk Masyarakat – 2 mungkin bukan konsert berskala besar, namun impaknya jauh lebih mendalam. Ia menjadi bukti bahawa selagi ada individu yang percaya, berani dan konsisten, muzik tempatan akan terus menemukan ruang untuk hidup di hadapan masyarakatnya sendiri.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page