UNIC Terjemahkan ‘Roh’ Nasyid Bangkit Dengan Jiwa Dan Gema
Dalam dunia hiburan yang sering diburu oleh sorakan dan sensasi, nasyid berdiri sebagai ruang untuk jiwa bernafas. Itulah pengalaman yang dihadirkan oleh kumpulan nasyid kontemporari, UNIC, menerusi konsert solo penuh pertama mereka, This Is UNIC: Live In Concert, di Idea Live Arena, pada 21 Disember lalu. Satu malam yang bukan sekadar dipenuhi muzik, tetapi sarat dengan penghayatan dan kesedaran rohani.
Lebih dua dekad UNIC menyampaikan dakwah melalui seni, dan konsert ini menjadi medan untuk memperlihatkan bahawa roh nasyid tidak pernah pudar, malah semakin matang seiring perjalanan usia dan pengalaman. Setiap lagu dipersembahkan bukan untuk dipamerkan, tetapi untuk dirasakan, mengajak penonton menyelami makna kehidupan, kasih dan kebergantungan kepada Yang Maha Esa.

Dentuman muzik pembuka menerusi lagu Hanyut terus menyambar emosi penonton. Susunan bunyi yang kemas, vokal harmoni yang berlapis serta pencahayaan dramatik mencetuskan aura serta dambaan roh yang membawa penonton menyusuri perjalanan seni UNIC sejak awal penubuhan. Dentuman sistem bunyi yang padu, lautan suara penonton dan alunan nasyid penuh jiwa bergema memenuhi segenap ruang arena.
Sorotan nostalgia diserlahkan melalui lagu-lagu awal seperti Balqis, Remaja dan Sebuah Pertemuan yang disampaikan dengan susunan muzik lebih segar, namun masih mengekalkan roh asal. Setiap bait lirik disambut sorakan dan nyanyian beramai-ramai, mencipta gema yang memenuhi segenap ruang arena.

Menurut Bazli Hazwan, momen itu cukup menggetarkan perasaan mereka di atas pentas.
“Apabila ribuan penonton menyanyi bersama lagu-lagu lama kami, ia terasa seperti seluruh perjalanan UNIC diputar kembali. Tenaga dan sokongan itu benar-benar luar biasa,” katanya.
Momentum konsert terus dipacu dengan karya-karya yang mencerminkan kematangan UNIC seperti Jalinan, Keroncong Kasih Sayang dan Kawan. Gabungan susunan muzik moden, permainan sistem bunyi yang seimbang serta kawalan vokal yang mantap menjadikan setiap persembahan terasa hidup dan bertenaga.

Nada konsert kemudiannya diperlahankan, namun sarat dengan kekuatan emosi menerusi segmen dakwah dan penghayatan rohani. Lagu Hakikat Bahagia, Doa Dhuha, Anak Soleh, Jom Solat dan Qunut Nazilah dipersembahkan dalam suasana lebih minimalis, membiarkan vokal dan mesej menjadi fokus utama.
“Apabila sistem bunyi diperlahankan dan seluruh dewan diam, setiap lirik seolah-olah menembusi jiwa. Inilah kekuatan nasyid, ia meresap tanpa paksaan,” ujar Dr Fitri Haris.
Ledakan sorakan kembali memecah keheningan apabila UNIC melancarkan deretan lagu ikonik seperti Hanya Tuhan Yang Tahu, Mahligai Kasih, Demi Cinta Suci, Atas Nama Cinta dan Ainul Mardhiah. Detik sing-along ini menyaksikan ribuan penonton berdiri, mengangkat tangan dan menyanyi seiring, menjadikan Idea Live Arena bergegar dengan satu suara dan satu rasa.

“Apabila seluruh arena menyanyi bersama, kami bukan sekadar mendengar suara penonton, tetapi merasakan getaran jiwa mereka. Itu tenaga yang sukar digambarkan,” ujar Fakhrul Radhi yang berkongsi momen ketika klimaks kepada persembahan malam tadi.
Konsert turut diperkukuhkan dengan penampilan istimewa Naufal Isa dan Nizam Laksamana yang tampil berkongsi pentas, sekali gus menambah dimensi emosi dan memperlihatkan semangat persaudaraan sesama penggiat seni dakwah.

Menutup tirai dengan lagu Ainul Mardhiah, UNIC berdiri di tengah lautan cahaya dan sorakan, meninggalkan kesan mendalam yang masih bergetar di hati penonton. Konsert anjuran Triple Am Global ini bukan sahaja menjadi kemuncak perjalanan lebih 20 tahun UNIC, tetapi juga satu pernyataan lantang bahawa nasyid masih bernyawa, masih berdaya saing dan masih relevan dalam dunia hiburan moden.

“Kami bersyukur atas sokongan yang tidak pernah putus. Konsert ini bukan penamat, tetapi titik mula untuk lebih banyak karya dan perkongsian bermakna,” ujar UNIC, menutup malam penuh gema dan makna itu dengan penuh rendah hati.
