Inteam Bangkit Dengan Nasyid Moden, Sarat Cinta & Pengharapan Menerusi ‘Satukan Kami Di Syurga’
Kumpulan nasyid popular tanah air, Inteam, kembali mencuri perhatian peminat dengan pelancaran single terbaharu berjudul Satukan Kami Di Syurga, sebuah karya yang menyatukan bakat tiga nama besar industri, komposer prolifik Farouk Roman, penulis lirik dan personaliti TV terkenal Fedtri Yahya, serta vokal harmoni empat anggota Inteam.
Lagu bernuansa emosi ini dilihat sebagai percubaan segar Inteam dalam memperkukuh jenama nasyid kontemporari yang lebih moden, universal dan dekat dengan citarasa pendengar masa kini.
Farouk Roman, yang sebelum ini mencipta pelbagai lagu hit bersama penyanyi ternama seperti Khai Bahar, Hazama dan Dato’ Siti Nurhaliza, kembali menampilkan magisnya melalui karya ini. Sentuhannya kali ini lebih lembut tetapi penuh dramatik, sesuai dengan tema ketuhanan dan kasih sayang yang cuba diketengahkan.
“Kami teruja kerana Farouk berjaya membawa warna baharu dalam muzik kami. Kami berharap lagu ini bukan sekadar diterima, tetapi mampu menjadi fenomena,” ujar Hazamin mewakili Inteam.
Menurut Syah pula, kekuatan lagu ini terletak pada mesejnya yang bersifat merentas generasi.
“Ia sangat universal, mudah dihadam dan dekat dengan jiwa sesiapa sahaja. Inilah nasyid yang boleh masuk ke semua lapisan masyarakat,” katanya.
Rahim optimis bahawa Satukan Kami Di Syurga mampu membuka ruang lebih luas buat Inteam meneroka identiti baharu tanpa meninggalkan asas nasyid yang mereka perjuangkan sejak dua dekad lalu.
“Lagu ini ada potensi besar. Ia memberi nafas baharu kepada kami dan mudah-mudahan diterima ramai,” katanya.
Hisyam pula menegaskan lagu itu bukan sekadar melodi indah, tetapi menuntut penyampaian penuh keikhlasan.
“Lagu sebegini perlu dibawa dengan rasa. Kita bukan sekadar menyanyi, tetapi menyampaikan doa dan harapan,” katanya.
Menambah nilai sentimental, muzik video rasmi Satukan Kami Di Syurga menampilkan pasangan selebriti terkenal Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama anak-anak mereka. ‘Chemistry’ keluarga ini berjaya menghidupkan elemen kasih sayang, kehilangan, harapan dan doa yang menjadi teras lagu tersebut.
Ini juga menandakan kemunculan semula pasangan itu dalam projek Inteam selepas kali terakhir membintangi muzik video nasyid hit DIA pada 2019.
“Saya sangat bersyukur dapat kembali bekerjasama dengan Inteam. Lagu ini menyentuh hati dan memberi makna mendalam kepada kami sekeluarga.” Ujar Norman.
Dengan mengetengahkan mesej pengharapan agar dipertemukan kembali di syurga bersama insan tersayang, lagu ini dianggap hadir tepat pada waktu lebih-lebih lagi dalam suasana dunia hari ini yang sarat cabaran, kehilangan dan keresahan jiwa.
Nada lembut, susunan muzik moden dan lirik yang puitis menjadikan Satukan Kami Di Syurga sebuah karya yang mampu mengisi ruang rohani pendengar, sama ada peminat nasyid tegar atau mereka yang sekadar mencari ketenangan.
Satukan Kami Di Syurga boleh ditonton di saluran YouTube Inteam Digital, manakala versi audio boleh didengari di semua platform penstriman digital mulai 6 November 2025.
