March 12, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Syazwan & Athalia Serasi, Cinta ‘Green Flag’ Buka Hati Penonton Muda

Spread the love

MYTV Lancar Siri Originals Pertama ‘BF Green Flag’

Platform penstriman tempatan, MYTV Mana Mana, terus melangkah ke depan apabila memperkenalkan siri original pertama mereka berjudul BF Green Flag, yang bakal menemui penonton mulai 13 November ini, setiap hari Khamis jam 12 tengah hari eksklusif hanya di aplikasi MYTV Mana Mana.

Sebagai pembuka tirai kepada jenama MYTV Originals, siri 20 episod berdurasi tujuh minit ini mempertaruhkan gandingan pertama kali antara pelakon serba boleh Syazwan Razak dan penyanyi cantik Athalia, yang kini mencuba nasib dalam bidang lakonan.

Lebih menarik, lima episod pertama boleh ditonton secara percuma satu langkah berani MYTV untuk menarik penonton muda mencuba kandungan tempatan yang lebih segar dan dekat dengan realiti kehidupan mereka.

Dalam BF Green Flag, Athalia membawa watak Adella, gadis yang serik bercinta selepas dikhianati dalam hubungan toksik. Namun hidupnya berubah bila bertemu Alfa (lakonan Syazwan Razak) lelaki yang sabar, matang dan benar-benar ‘green flag’ dalam hidupnya. Dari luka menjadi sembuh, dari curiga menjadi percaya, kisah mereka dijangka buat penonton tersenyum dan sebak dalam masa yang sama.

Selain dua bintang utama ini, siri terbitan Astra Entertainment turut dibarisi pelakon hebat seperti Azhan Rani, Dafi, Syahmie Thsa-Qeef, Amir Mirza, Khaleed Asyarief, Uchee Fukada, Iman Suhana, dan Dottie Syuhada.

Turut mencuri tumpuan ialah penampilan khas pempengaruh popular seperti Ryan Bakery, Farihinarnia dan WanChai, yang menambah warna serta humor kepada jalan cerita.

Diarahkan oleh Kamal Husni dan ditulis oleh Faten Syamimie, BF Green Flag bukan hanya kisah cinta remaja, tetapi juga menyentuh isu kesihatan mental dan trauma akibat hubungan toksik. Ia mengingatkan anak muda supaya peka terhadap tanda-tanda hubungan tidak sihat dan berani keluar daripada kitaran yang merosakkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV, Mohamad Helmi Harith, pelancaran siri ini adalah langkah penting untuk menjadikan MYTV bukan sekadar platform penyiaran, tetapi juga penggerak kandungan kreatif tempatan.

“Kami mahu BF Green Flag jadi permulaan kepada kebangkitan siri tempatan yang segar, autentik dan relevan dengan gaya hidup penonton digital hari ini,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Astra Entertainment, Dato’ Rozaidi Baharudin, menjelaskan bahawa setiap karya perlu membawa nilai, bukan sekadar hiburan kosong.

“Kami nak tunjuk yang cinta sihat itu wujud. BF Green Flag bukan sekadar cerita sweet couple, tapi tentang penyembuhan, kepercayaan dan berani mencintai semula,” katanya.

Menambah nilai nostalgia, siri ini turut menggunakan lagu tema “Hanya Namamu Cinta” nyanyian Dafi, yang dirakam semula dalam versi baharu khas untuk BF Green Flag. Suara dan susunan muzik yang segar menjadikan lagu ini seiring dengan perjalanan emosi watak utama.

BF Green Flag boleh mula ditonton di MYTV Mana Mana bermula 13 November 2025, setiap hari Khamis jam 12 tengah hari. Untuk permulaan, lima episod pertama boleh dinikmati secara percuma.

Ikuti akaun rasmi MYTV dan MYTV Mana Mana di media sosial untuk klip eksklusif dan info terkini.
Menariknya, MYTV juga bakal mengumumkan kerjasama bersama CelcomDigi tidak lama lagi  dengan tawaran istimewa untuk pelanggan menonton kandungan premium di aplikasi tersebut.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page