Zara Zya Ungkap Cinta Abadi Dalam “Terpatri Cinta”
Pelakon dan penyanyi popular, Zara Zya, kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Terpatri Cinta”, sebuah karya istimewa ciptaan sepenuhnya oleh komposer dan penulis lirik berbakat Wanns Ahmad.
Lagu ini menampilkan sisi lembut dan matang Zara Zya, mengetengahkan tema cinta yang bukan sekadar romantik, tetapi berpaksikan keikhlasan dan reda Ilahi. Dengan melodi beremosi dan elemen Islamik, “Terpatri Cinta” membawa pendengar menelusuri erti kasih yang lebih mendalam dan suci.
“Pertama kali saya baca lirik dan dengar melodi ‘Terpatri Cinta’, hati saya terus tertarik. Lagu ini ada jiwa yang lembut, tapi maknanya lebih besar daripada sekadar kasih antara dua insan — ia tentang cinta yang berpaksikan keikhlasan dan reda Allah,” kata Zara.
Menurutnya, karya ini turut mencerminkan sebahagian daripada perjalanan peribadinya sebagai wanita dan insan seni.
“Ada bahagian dalam lagu ini yang memang dekat dengan pengalaman saya sendiri. Ia bukan semata-mata kisah cinta, tetapi perjalanan hati tentang bagaimana cinta itu boleh menjadi doa,” tambahnya.
Dari sudut mesej, “Terpatri Cinta” mengajak pendengar untuk melihat cinta daripada perspektif lebih suci — bukan sekadar penyatuan dua hati, tetapi dua jiwa yang berpaut menuju syurga bersama.

“Cinta yang paling indah adalah cinta yang disucikan dengan niat yang betul. Kasih yang halal dan diberkati bukan sekadar penyatuan dua hati, tetapi dua jiwa menuju syurga,” jelas Zara lagi.
Dalam aspek produksi, Zara memilih “Terpatri Cinta” kerana merasakan karya tersebut mempunyai keunikan tersendiri — sederhana tetapi sarat emosi.
“Keunikan lagu ini terletak pada kesederhanaannya. Ia tidak berlebihan, namun penuh rasa,” katanya.
Rakaman lagu ini mengambil masa hampir sebulan dengan kerjasama erat antara Zara dan Wanns Ahmad, yang disifatkannya sebagai pengalaman yang mudah dan menyenangkan.
“Wanns sangat memahami jiwa saya. Dia bukan hanya fokus kepada teknik, tetapi juga emosi. Dia faham saya bukan penyanyi profesional, jadi prosesnya juga sangat selesa,” ujar Zara.
Namun, cabaran terbesar baginya adalah mengawal emosi semasa rakaman.
“Ada beberapa bahagian yang terlalu dekat di hati sampai suara saya bergetar. Kadang-kadang saya sendiri tidak yakin dengan kemampuan diri,” katanya jujur.
Menariknya, “Terpatri Cinta” turut hadir bersama muzik video rasmi berkonsep minimalis, dengan tumpuan kepada ekspresi dan emosi berbanding visual berlebihan.

“Konsep muzik video ini lebih minimalis, fokus pada rasa, bukan hanya visual. Terima kasih kepada Datuk Alha Alfa yang sudi menaja muzik video ‘Terpatri Cinta’,” katanya penuh penghargaan.
Apabila diminta menggambarkan lagu ini dalam satu perkataan, Zara menjawab ringkas namun bermakna:
“Abadi. Cinta yang abadi kerana Allah.”
Zara turut berharap agar “Terpatri Cinta” dapat menyentuh hati pendengar pelbagai lapisan usia dan latar belakang.
“Saya harap lagu ini dapat memberi ketenangan dan keinsafan kepada sesiapa yang mendengarnya. Jika ada yang rasa terubat atau tersenyum selepas mendengar, itu sudah cukup bermakna bagi saya. ‘Terpatri Cinta’ bukan sekadar lagu, tetapi doa kecil tentang cinta abadi,” katanya menutup bicara.
Single “Terpatri Cinta”, yang dilancarkan bersempena hari lahir Zara pada 22 Oktober lalu, kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama. Video muzik rasminya turut boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music melalui pautan: https://youtu.be/4yn0FbkulsQ?si=NlwqjDkOxrP2C2xs.
