January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

MLTR Kembali Hidupkan Nostalgia Cinta di Genting Highlands

Spread the love

Michael Learns To Rock Encore All The Hits in Malaysia berlangsung 9 November ini

Sebuah malam penuh nostalgia bakal menghangatkan pentas Arena of Stars, Resorts World Genting pada 9 November 2025 apabila kumpulan pop rock legenda dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR), kembali menemui peminat setia mereka menerusi konsert istimewa “Michael Learns To Rock Encore All The Hits in Malaysia” yang dijadual bermula jam 6 petang.

Lebih daripada sekadar persembahan muzik, konsert ini dijangka menjadi perayaan penuh makna terhadap lebih tiga dekad perjalanan seni kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu balada romantik yang kekal abadi seperti 25 Minutes, Paint My Love, Sleeping Child, dan That’s Why (You Go Away).

Dalam sesi temu bual eksklusif bersama media yang di adakan secara maya, tiga anggota MLTR Jascha Richter (vokalis dan pemain keyboard), Mikkel Lentz (gitaris) dan Kåre Wanscher (pemain dram)  meluahkan keterujaan mereka untuk kembali ke Malaysia.

Menurut Jascha, setiap kali mereka membuat persembahan di sini, semangat dan sokongan peminat tempatan sentiasa menjadi kenangan terindah.

“Apa yang paling kami nantikan ialah melihat wajah-wajah gembira peminat Malaysia menyanyi bersama dari awal hingga akhir. Ia sesuatu yang sangat menyentuh hati,” katanya ketika ditemubual secara maya pada 28 Oktober lalu.

“Malaysia adalah negara pertama kami di Asia, dan sambutan luar biasa peminat di sini tidak pernah kami lupakan,” ujar Mikkel.

Kåre pula berkongsi bahawa meskipun MLTR sudah berpuluh tahun dalam industri, mereka tetap menjaga disiplin dan fokus sebelum setiap persembahan.

“Kami tiada ritual khusus, tapi kami pastikan diri tenang dan fokus sebelum naik ke pentas. Tenaga penonton memberi kami inspirasi setiap kali,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pengaruh muzik mereka, Jascha mengakui banyak terinspirasi daripada artis 70-an dan 80-an seperti David Bowie dan Talking Heads, manakala Mikkel pula mengagumi Bruno Mars sebagai penghibur moden yang berbakat besar.

Antara detik penting dalam karier MLTR ialah kolaborasi mereka dengan penyanyi legenda Hong Kong, Jacky Cheung, menerusi lagu Take Me To Your Heart adaptasi daripada lagu Mandarin 别 (Wen Bie).

“Kami tidak faham lirik asalnya, tetapi kami tertarik dengan melodi dan semangatnya,” ujar Jascha sambil mengenang detik bersejarah itu yang membuka pasaran besar buat mereka di China.

Ketiga-tiga anggota MLTR juga sepakat mengatakan bahawa rakyat Malaysia antara yang paling ramah dan sopan.

“Kami sangat menghargai keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Ia sesuatu yang indah dan menginspirasikan,” kata Jascha.

Walaupun sudah lebih tiga dekad dalam industri, MLTR masih kekal aktif. Mereka mendedahkan beberapa lagu baharu sudah siap dirakam dan bakal dilancarkan apabila tiba masa sesuai.

“Dulu kami perlu pergi ke puluhan stesen radio dan TV untuk promosi. Sekarang, satu video di TikTok sudah cukup. Dunia muzik berubah, dan kami belajar menyesuaikan diri,” seloroh Mikkel.

Menurut Jascha, kejujuran dalam menyampaikan emosi menjadi kunci utama muzik MLTR terus digemari hingga kini.

“Kami tak ikut trend. Jika sebuah lagu boleh menyentuh hati seseorang, ia akan terus hidup merentasi generasi,” katanya.

Tiket boleh didapati di rwgenting.com, bermula daripada RM188 hingga RM988 mengikut kategori tempat duduk. Pembeli tiket kategori Zon MLTR dan VIP juga berpeluang menikmati faedah eksklusif, termasuk peluang bergambar bersama anggota kumpulan bagi beberapa pemenang bertuah.

Konsert ini dijangka menjadi malam penuh emosi, mengimbau kenangan cinta dan perjalanan hidup ramai pendengar yang membesar bersama lagu-lagu MLTR.

Lebih 11 juta album terjual, 1.5 bilion penstriman global, serta hampir 1,000 konsert di seluruh dunia MLTR bukan sekadar kumpulan muzik, tetapi simbol pop romantik yang abadi dan universal.

“Terima kasih kerana terus menyokong kami selama ini. Kami masih di sini kerana anda. Jumpa anda di konsert nanti, satu malam, satu kenangan,” pesan Jascha mewakili rakan-rakannya mengakhiri temubual.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page