“Healing Nite Kuala Lumpur 2026”: Satukan Bintang Nusantara, Sembuhkan Jiwa Dengan Muzik

Konsert Mega Lintas Negara Pada 24 Januari 2026 Di Stadium Merdeka Ini Tonjolkan Kuasa Muzik Sebagai Medium Penyembuhan Emosi, Menggabungkan Ella, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Kangen Band dan Lyodra,
Istilah healing bukan lagi sekadar trend media sosial, sebaliknya menjadi simbol pencarian ketenangan dalam kehidupan moden. Menyedari keperluan itu, konsert berskala besar Healing Nite Kuala Lumpur 2026 bakal berlangsung pada 24 Januari 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dengan membawa misi menjadikan muzik sebagai terapi penyembuhan jiwa.
Menampilkan lima nama besar dari Malaysia dan Indonesia Ella, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Kangen Band dan Lyodra, konsert ini bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi satu perayaan emosi dan kesejahteraan mental yang disusun rapi oleh Kembar Nusantara Sdn Bhd, bersama Creative Page Sdn Bhd dan Yumeca Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn Bhd, Herman Aziz, berkata idea utama penganjuran ini tercetus daripada keinginan untuk mengangkat muzik sebagai medium penyembuhan dan penyatuan masyarakat.

“Healing adalah sebagai salah satu fasa pemulihan dari segi emosi, ekonomi dan spiritual yang membelenggu individu apatah lagi selepas seharian bekerja. Justeru itu, kami percaya bahawa muzik mempunyai kuasa luar biasa untuk menghubungkan hati dan menyembuhkan jiwa,” ujarnya ketika pengumuman konsert Healing Nite Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung di St Regis Kuala Lumpur pada 21 Oktober lalu.
Lebih menarik, pemilihan artis untuk Healing Nite Kuala Lumpur 2026 melangkaui sempadan generasi. Dari suara ikonik Ella yang sinonim dengan kekuatan wanita, vokal romantik Anuar Zain yang menjadi lambang kasih sejati, kehalusan emosi Dayang Nurfaizah, hinggalah tenaga segar Lyodra dan sentuhan nostalgia Kangen Band. Konsert ini dijangka menjadi jambatan muzik antara era dan perasaan.

Setiap artis membawa “getaran penyembuhan” tersendiri, ada yang membangkitkan semangat, ada yang memujuk luka lama, dan ada yang menghadirkan ketenangan. Gabungan genre dan generasi inilah yang menjadikan Healing Nite Kuala Lumpur 2026 lebih daripada sekadar konsert biasa.
“Tema healing ini bukan hanya untuk mereka yang sedang melalui fasa sukar, tetapi untuk semua. Kadang-kadang kita hanya perlukan sedikit muzik, sedikit cahaya dan sedikit tenaga positif untuk menyembuhkan diri,” tambah Herman.
Bagi memastikan pengalaman itu dirasai sepenuhnya, suasana konsert akan direka dengan pendekatan ‘terapeutik’ termasuk pencahayaan lembut, reka bentuk pentas yang harmoni, serta healing tents dan relaxation zones buat penonton berehat dan menikmati muzik dengan lebih tenang.
Penganjuran Healing Nite Kuala Lumpur 2026 turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sebagai sebahagian daripada inisiatif menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharudin, menyifatkan acara ini sebagai bukti bahawa hiburan moden mampu berfungsi sebagai jambatan budaya dan bentuk diplomasi seni yang memperkukuh hubungan Malaysia-Indonesia.
“Ia memperlihatkan keupayaan syarikat tempatan menganjurkan acara berskala antarabangsa dengan nilai kemanusiaan dan budaya,” ujarnya.
Sementara itu, Ella menyifatkan penglibatannya sebagai pengalaman peribadi yang bermakna.
“Saya rasa konsep ini sangat segar dan relevan. Setiap orang ada tekanan hidup masing-masing, dan kadang-kadang muzik boleh menjadi ubat paling jujur,” katanya.

Anuar Zain yang senada dengan Ella turut mengakui bahawa ‘healing’ itu sewajaranya menjadi intipati penting bagi setiap individu khususnya ‘music healing’ yang lebih mudah untuk diperolehi tanpa melibatkan kos yang besar.
Dengan nilai kemanusiaan yang kuat, barisan penghibur bertaraf bintang dan produksi berkonsep terapeutik, Healing Nite Kuala Lumpur 2026 dijangka menjadi antara acara paling berinspirasi dalam kalender hiburan Malaysia tahun depan.

Tiket bermula dari RM190 dan boleh didapati melalui laman rasmi www.ticket2u.com.my. Stadium Merdeka bakal menjadi saksi bagaimana muzik sekali lagi membuktikan dirinya sebagai bahasa penyembuhan sejagat yang menyatukan hati tanpa mengira usia.