October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nidji dan Bunkface Bakal Gegarkan Megastar Arena 21 Disember Ini

Spread the love

Penganjuran Nusa Fest tahun ini bakal tampil berbeza apabila hanya dua kugiran ternama, Nidji dari Indonesia dan Bunkface dari Malaysia, dipertemukan dalam konsert istimewa bertajuk Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface yang dijadual berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 21 Disember 2025.

Menurut penganjur Shiraz Projects, pemilihan dua nama besar itu bukan sekadar untuk menampilkan persembahan muzik, tetapi bagi mencipta momen bersejarah yang bakal dikenang sebelum tirai 2025 dilabuhkan.

“Energi yang dibawa Nidji sentiasa besar, membuatkan kami teruja untuk melamar mereka dalam kolaborasi bersama Bunkface. Kedua-dua kugiran memiliki kredibiliti tersendiri dan kali ini, penonton akan menyaksikan sebuah momen epik di bawah satu bumbung,” kata Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim.

Bagi vokalis Bunkface, Sam, konsert tersebut merupakan bukti sinergi muzik Malaysia–Indonesia yang sentiasa utuh.
“Bukan sekadar sebuah persembahan pentas biasa, Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface akan menjadi momen paling berharga buat peminat kami,” ujarnya.

Sementara itu, vokalis Nidji, Ubay, menyifatkan peluang berkongsi pentas dengan Bunkface sebagai penghormatan besar buat kumpulannya.

“Memang sebelum ini kami pernah berada dalam festival sama, tetapi sepanggung hanya berdua adalah satu penghormatan. Nantikan persembahan terbaik kami di Megastar Arena nanti,” katanya.

Tiket konsert berkenaan akan mula dijual pada 2 Oktober 2025, bermula jam 10 pagi melalui www.ticket2u.com.my dengan tiga kategori iaitu Rockzone (Standing) RM228, Diamond (Seated) RM198 dan Platinum (Seated) RM168.

Dengan gabungan lagu-lagu popular seperti Cinta dan Sumpah Matiku daripada Nidji serta Malam Ini Kita Punya daripada Bunkface, konsert ini dijangka menjadi antara acara paling energetik dan bersejarah menjelang hujung tahun.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page