October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Bunga Citra Lestari  ‘Terjemahkan’ Nuansa “Eternal Love, Timeless Romance”

Spread the love

Meskipun pertembungan beberapa konsert lain tanggal 27 September lalu, ianya sedikit pun tidak merubah arena Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpurmalah ianya seakan bertukar menjadi ruang sacral, di mana muzik menjadi doa, dan setiap bait lirik menjelma sebagai helaian kisah hidup seorang wanita yang pernah jatuh, terluka, lalu bangkit semula. Itulah yang di semai oleh Bunga Citra Lestari (BCL) menerusi konsert terbaharunya, Eternal Love, Timeless Romance.

Lebih daripada sekadar persembahan, konsert ini adalah sebuah ledakkan emosi di mana ianya mengikat cinta yang pernah mekar, kehilangan yang menoreh jiwa, dan harapan yang tumbuh semula.

Di hadapan lebih 2,000 penonton, BCL tampil bukan sekadar sebagai seorang penyanyi, tetapi sebagai narator kehidupannya sendiri. Saat melantunkan “Wanita Terbahagia”, beliau menyingkap kembali memori bersama suami tercinta, Allahyarham Ashraf Sinclair, yang pemergiannya pada 2020 meninggalkan ruang kosong yang dalam menerusi konsert anjuran Pulse Project Asia.

“Kehadiran Ashraf dan Noah menjadikan saya wanita yang bahagia. Namun hidup ini tidak selalu seperti yang kita rancangkan. Kehilangannya benar-benar mengejutkan saya,” ungkapnya, penuh sebak, sebelum disambut tepukan panjang para penonton.

Lagu “12 Tahun Terindah” pula hadir sebagai epitaf muzik; sebuah puisi peribadi yang merakam perjalanan bersama Ashraf. Pesan yang beliau titipkan jelas: hargailah setiap detik bersama insan tersayang, kerana waktu adalah sesuatu yang tidak pernah bisa dijangka.

Namun malam itu bukan hanya tentang air mata dan kenangan. Ia juga menjadi ruang untuk BCL meraikan cinta yang baharu. Dengan penuh syukur, beliau berkongsi tentang kehidupannya bersama suami kini, Tiko Aryawardhana, yang dinikahinya pada Disember 2023 di Bali.

Lebih menyentuh, BCL menekankan bagaimana Tiko dan keluarga Allahyarham Ashraf saling menerima dan menghormati, menjadikan perkahwinan baharunya sebuah jambatan kasih yang menyatukan masa lalu dengan masa kini.

“Apa yang saya bawakan malam ini bukan untuk menangis. Saya hanya ingin berkongsi perjalanan hidup, dari kehilangan hingga keberanian membuka hati kembali,” katanya, tenang tetapi penuh makna.

Sepanjang hampir dua jam, BCL menyulam 17 lagu yang menjadi saksi perjalanan seninya — dari Ingkar, Selalu Ada Di Nadimu, Memulai Kembali, hingga Cinta Sejati.

Malam itu turut diperkaya dengan kehadiran rakan-rakan artis antaranya Fajar Noor, Jaclyn Victor, dan pemuzik virtuoso Dennis Lau, yang masing-masing menambahkan warna pada kanvas emosi yang telah sedia penuh.

 Antara lagu yang dipersembahkan secara duet adalah Tetaplah Dihatiku, Puteri Iklan (Fajar Noor),  Love Story ( Jaclyn Victor) dan Dennis Lau (12 Tahun Terindah).

Konsert Eternal Love, Timeless Romance akhirnya berdiri sebagai lebih daripada hiburan. Ia adalah sebuah testimoni tentang ketabahan seorang wanita, tentang cinta yang tidak pernah mati walau ditinggalkan, tentang kehilangan yang mengajar erti syukur, dan tentang keberanian menulis bab baharu dalam hidup.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page