October 23, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

HUJAN Suntik Semangat Harimau Malaya Dengan Lagu Rasmi “Demi Lencana Di Dada”

Spread the love

Aura bola sepak tempatan bakal membara dengan lebih hebat apabila kumpulan Hujan tampil melancarkan single baharu berjudul “Demi Lencana Di Dada”, lagu rasmi skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Kerjasama mantap antara Warner Music Malaysia (WMM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini menjadi saksi bagaimana muzik dan bola sepak bergabung bagi menyemarakkan semangat pemain serta penyokong setia di seluruh negara.

Dilancarkan secara rasmi pada 5 September 2025, lagu ini bukan sekadar karya biasa, tetapi simbol perjuangan, pengorbanan dan harapan yang diusung setiap kali Harimau Malaya melangkah ke padang. Ia akan menjadi lagu rasmi yang mengiringi skuad kebangsaan pada perlawanan besar, termasuk aksi persahabatan Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September, serta pertembungan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 8 September.

Menurut vokalis Hujan, Noh Salleh, peluang ini adalah sesuatu yang cukup bermakna buat mereka sebagai anak seni dan rakyat Malaysia.

“Kami rasa sangat berbesar hati dan bangga bila diberi peluang menyanyikan lagu rasmi Harimau Malaya. Sebagai rakyat Malaysia, bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada jiwa kita semua. Bila kami menyanyikan lagu ini, ia bukan sekadar sebuah lagu, tapi satu semangat yang menyatukan seluruh negara di belakang pasukan kebanggaan kita,” ujar Noh.

Projek ini mula dibangunkan sejak Februari 2025 bagi memastikan setiap melodi, lirik dan mesej benar-benar menyentuh jiwa. Namun, Noh mengakui cabarannya bukan kecil.

“Bukan mudah sebenarnya mahu menyampaikan rasa semangat dan jiwa Harimau Malaya dengan penuh keikhlasan. Lagu ini bukan sekadar melodi tetapi ia adalah simbol perjuangan, pengorbanan dan harapan. Jadi kami perlu pastikan setiap lirik dan setiap nada yang kami nyanyikan boleh membakar semangat pemain dan penyokong di stadium mahupun di rumah,” katanya lagi.

Lebih daripada sekadar hiburan, “Demi Lencana Di Dada” diyakini mampu menjadi nadi perpaduan rakyat Malaysia, tidak kira bangsa atau latar belakang, ketika bersama menyokong wira negara.

“Besar harapan kami agar bola sepak Malaysia terus maju, bukan saja dari segi pencapaian di peringkat antarabangsa, tapi juga dalam menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan latar belakang. Bola sepak ada kuasa untuk menghubungkan kita semua, dan kami percaya dengan semangat Harimau Malaya, Malaysia boleh terus melakar sejarah yang membanggakan,” tambah Noh mewakili anggota Hujan.

Dengan irama penuh jiwa dan lirik yang membakar semangat, “Demi Lencana Di Dada” bukan sahaja menjadi peneman pasukan kebangsaan di padang, malah bakal bergema di hati penyokong setia. Lagu ini boleh distrim di semua platform digital mulai 5 September 2025, manakala lirik video rasmi boleh ditonton di YouTube Warner Music Malaysia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page