Loco ‘Scraps Tour’ Kuala Lumpur: Pentas Hip-Hop Korea Bakal Gegar Zepp KL Pada 2 November Ini

Jualan Tiket Bermula 5 September Jam 11 Pagi Menerusi my.bookmyshow.com
Apabila berbicara tentang K-rap, nama Loco tidak pernah ketinggalan dalam senarai teratas. Dari seorang juara pertama rancangan realiti Show Me the Money pada tahun 2012, kini beliau berdiri teguh sebagai salah seorang wajah paling ikonik dalam arena hip-hop Korea. Tahun ini, Loco kembali dengan sesuatu yang lebih besar – 2025 LOCO CONCERT: SCRAPS TOUR, dan Kuala Lumpur menjadi salah satu hentian pentingnya.
Pada 2 November 2025 (Ahad), jam 7 malam, pentas Zepp Kuala Lumpur bakal bergema dengan alunan rap, beat penuh jiwa, serta interaksi mesra yang sudah sinonim dengan persembahan Loco. Lebih istimewa, ini merupakan konsert solo pertama beliau di Malaysia, hasil kerjasama Starry Live Entertainment dan The WonderLand+.
Bukan sekadar konsert biasa, jelajah ini lahir daripada album studio ketiganya, Scraps merupakan sebuah karya yang cukup peribadi kerana ia adalah album pertama di bawah label milik beliau sendiri, Locomotive. Dengan 12 buah lagu, termasuk kolaborasi bersama Jordan Ward, 1MILL dan Feby Putri, Scraps menampilkan sisi jujur dan refleksi perjalanan seorang rapper yang terus mencari suara dan identiti dalam dunia yang penuh cabaran.

Kalau anda masih mengingati lagu-lagu seperti No More, You Too dan Don’t Give It to Me, anda pasti faham mengapa nama Loco sering menjadi sebutan. Setiap karyanya punya keunikan dimana gabungan beat yang segar dengan lirik yang bercerita tentang hidup, cinta, dan perjalanan penuh warna. Tidak hairanlah Loco sering digambarkan sebagai seorang storyteller, bukan sekadar rapper.
Lebih menarik, beliau juga tidak asing dengan kolaborasi bersama nama-nama besar seperti Hwasa, Crush dan Gray, menjadikan setiap projeknya penuh variasi dan daya tarikan.
Jika ada sesuatu yang membuatkan konsert Loco lain daripada yang lain, ia adalah suasana intim tetapi penuh tenaga. Peminat bukan sahaja datang untuk menikmati muzik, tetapi turut merasai momen istimewa apabila Loco berinteraksi secara langsung sama ada berbual santai, bergurau, atau mengajak penonton menyanyi bersama. Itu semua menjadikan setiap persembahan lebih peribadi, seolah-olah beliau bercerita terus kepada anda.
Bagi yang sudah tidak sabar, tiket akan mula dijual pada Jumaat, 5 September, jam 11 pagi menerusi my.bookmyshow.com. Harga tiket bermula dari RM348 (CAT 2) hingga RM648 (VIP), manakala VIP Box untuk 8 orang ditawarkan pada harga RM5,500.

Lebih istimewa, setiap kategori hadir dengan faedah peminat eksklusif seperti akses ke sesi soundcheck, foto berkumpulan, goodbye session dan juga poster bertandatangan dimana ianya peluang yang jarang sekali ditawarkan artis antarabangsa.
Dengan reputasi persembahan yang bertenaga dan barisan lagu penuh emosi, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Scraps Tour di Kuala Lumpur bakal menjadi antara konsert K-rap paling di nanti untuk tahun 2025.
Untuk maklumat terkini, ikuti @starryliveent di Instagram dan The WonderLand+ di Facebook.