May 29, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Malam ‘Romantis’ Ciptaan Boyz II Men

Spread the love

Kredit Foto:  Sudasan

Boyz II Men akhirnya menamatkan penantian panjang para peminat setia mereka di Malaysia. Pada malam 25 Mei 2025, Megastar Arena di Sungei Wang Plaza menjadi saksi betapa hebatnya daya tarikan trio legenda R&B dari Philadelphia, Amerika Syarikat ini. “Boyz II Men Live In Kuala Lumpur”, anjuran Shiraz Projects, bukan sahaja membangkitkan nostalgia, malah mencipta malam paling ‘romantis’ buat ribuan peminat yang hadir.

Kali terakhir Boyz II Men mengadakan konsert di Malaysia ialah pada tahun 2019. Meskipun tanpa kehadiran Michael McCary yang meninggalkan kumpulan pada tahun 2003 akibat masalah kesihatan, Nathan Morris, Wanya Morris dan Shawn Stockman terus teguh meneruskan legasi seni mereka  dan malam itu membuktikan bahawa aura mereka masih ampuh.

Konsert dimulakan dengan dua lagu rancak, “Can’t Let Her Go” dan “Don’t Stop ’Til You Get Enough”, lagu asal Michael Jackson, yang dibawakan dalam susunan band penuh. Walaupun reaksi penonton agak sederhana, suasana berubah drastik apabila intro lagu “Water Runs Dry” bergema dari pentas. Jeritan bergema memenuhi ruang dewan, menyambut lagu daripada album II yang dilancarkan hampir 30 tahun lalu. Daripada generasi X hinggalah milenial dan Gen Z, semua bersatu menyanyikan bait-bait lirik dengan penuh perasaan.

Album II – yang turut memuatkan “I’ll Make Love To You” dan “On Bended Knee” – merupakan antara karya paling ikonik dalam katalog Boyz II Men. Persembahan malam itu turut diserikan dengan koreografi ala boyband, namun yang lebih menyerlah adalah harmoni vokal mereka yang masih mantap. Kali ini, mereka memilih untuk tampil dengan iringan muzik penuh, bukan secara akapela.

Shawn dan Wanya lebih banyak berinteraksi dengan penonton, menyuntik semangat dan suasana mesra. Nathan pula tampil lebih pendiam tetapi tetap memberi impak melalui persembahan vokal dan permainan muziknya.

Antara lagu-lagu lain yang membuai emosi penonton termasuk “On Bended Knee”, “Hey Lover”, “Please Don’t Go”, “Uhh Ahh”, dan “Four Seasons of Loneliness”. Lagu-lagu ini kebanyakannya berasal daripada album sulung mereka Cooleyhighharmony (1991), kecuali “On Bended Knee”.

Boyz II Men turut mempersembahkan beberapa medley lagu-lagu ikonik seperti “A Change Is Gonna Come” (Sam Cooke), “Are You Gonna Go My Way” dan “American Woman” (Lenny Kravitz), “Come Together” (The Beatles), serta “Purple Rain” (Prince). Namun hanya “Locked Out of Heaven” (Bruno Mars) yang benar-benar mencuri perhatian audiens.

Segmen ini turut memperlihatkan kebolehan mereka bermain alat muzik — Nathan di posisi gitar bass, Shawn dengan gitar elektrik, sementara Wanya kekal sebagai tenaga vokal utama. Mereka turut berkongsi saat-saat getir apabila idola muzik mereka seperti Michael Jackson, Prince dan Whitney Houston meninggal dunia. Ditambah pula dengan kehilangan insan tersayang dalam kehidupan peribadi, semangat untuk meneruskan perjalanan muzik pernah diuji.

Kemuncak emosi tercapai apabila mereka menyanyikan “It’s So Hard to Say Goodbye to Yesterday” dan “One Sweet Day”. Skrin pentas menayangkan rakaman lama Boyz II Men bersama Michael McCary menyanyikan lagu duet bersama Mariah Carey, sekali gus membangkitkan rasa rindu dan kesayuan. Seluruh dewan larut dalam emosi, mengangkat telefon bimbit yang menyala seumpama lambang kasih dan kehilangan yang pernah dialami setiap insan.

Dan akhirnya, saat yang paling ditunggu-tunggu pun tiba. “I’ll Make Love to You” menggamatkan suasana. Penonton menyanyi bersama penuh semangat, malah ada yang tidak dapat menahan emosi.

Cinta sememangnya wajar diperjuangkan, sebelum mereka menutup malam dengan “End of the Road” dan persembahan penutup “Motownphilly” yang mengiringi penonton meninggalkan dewan dengan rasa puas dan terharu.

Sebagai kumpulan muzik yang kini menjejak usia lebih 30 tahun dalam industri, tidak hairanlah Boyz II Men memiliki peminat daripada pelbagai lapisan umur. Lagu-lagu mereka telah menjadi latar bagi perjalanan hidup pelbagai generasi, penuh dengan memori dan emosi.

Dalam dunia yang sentiasa berubah, muzik Boyz II Men kekal sebagai pelukan hangat yang tidak pernah lekang oleh masa.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page