Wani Kayrie Cetus Fenomena Dengan “Cak Cak Cekuk”

Gabungan Perpaduan Pop Moden dan Warisan Irama Rakyat
Penyanyi berbakat dan sering bereksperimen dengan elemen baharu, Wani Kayrie kembali mencuri tumpuan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Cak Cak Cekuk”, sebuah karya segar yang memadukan muzik pop moden dengan sentuhan irama rakyat yang nostalgik.
Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, lagu ini merupakan hasil kolaborasi kreatif antara komposer Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh, yang berjaya meneroka gabungan warisan lisan dan gubahan kontemporari dalam sebuah naratif yang dekat dengan masyarakat muda hari ini.
“Pertama kali saya dengar demo lagu ini, saya terus terfikir ini cerita sebenar ramai pasangan muda yang mahu berkahwin tetapi terhalang oleh faktor kewangan,” ujar Wani Kayrie. “Saya mahu lagu ini membawa mesej yang ringan, tetapi cukup bermakna bahawa cinta, usaha dan keikhlasan lebih utama daripada kemewahan.”
“Cak Cak Cekuk” diinspirasikan daripada lagu rakyat tradisional seperti “Cak Cekur Udang Gamit”, yang suatu ketika dahulu sering dinyanyikan oleh ibu atau nenek kepada anak-anak kecil. Lagu tersebut diberikan nafas baharu dengan susunan muzik bertenaga serta lirik yang bersahaja, menjadikan ia relevan dengan gaya hidup moden.
“Sebagai generasi baharu, saya percaya kita perlu mengangkat semula elemen budaya tempatan dalam bentuk yang sesuai dengan zaman sekarang. Lagu ini bukan sekadar hiburan, ia juga satu bentuk penghargaan kepada nilai dan warisan lama,” tambah Wani.

Secara tematik, lagu ini menyentuh soal aspirasi untuk mendirikan rumah tangga dalam kalangan pasangan muda – satu impian yang sering berdepan realiti ekonomi dan tekanan sosial. Namun mesej yang dibawakan bersifat positif dan membina – menyeru kepada kesederhanaan, kerjasama, serta kepercayaan bahawa setiap impian boleh dicapai dengan sabar dan usaha bersama.
“Saya sendiri pernah melalui cabaran dalam membina kerjaya seni. Apa yang penting adalah tidak berputus asa. Sama seperti bait lirik lagu ini: ‘Perlahan dayung sampai hujung’ – itulah semangat yang saya ingin sampaikan,” jelas Wani lagi.
Dengan susunan muzik yang enerjik dan penyampaian vokal yang penuh keikhlasan, “Cak Cak Cekuk” diyakini bukan sahaja akan menghiburkan, malah menyentuh emosi pendengar. Lagu ini juga sesuai dimainkan dalam pelbagai suasana daripada majlis perkahwinan, bridal shower, hingga ke sesi perkongsian inspirasi bersama komuniti muda.
“Cak Cak Cekuk” kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Music bermula 23 Mei lalu.