May 9, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Sambutan Luar Biasa: Konsert genKRU Dilanjutkan ke Hari Keempat -Tiket Mula Dijual 8 Mei 2025, 1 Petang

Spread the love

Susulan sambutan luar biasa peminat terhadap konsert genKRU, pihak ICON ENTERTAINMENT mengumumkan penambahan satu malam persembahan baharu, menjadikan konsert ini berlangsung selama empat malam berturut-turut.

Tiket bagi malam pertama dan kedua telah habis dijual dalam tempoh kurang daripada satu jam, manakala tiket untuk malam ketiga juga secara rasmi telah habis dijual. Menurut pengasas ICON ENTERTAINMENT, Iman Tang, sambutan luar biasa ini merupakan satu bentuk penghargaan paling besar daripada peminat kepada trio legenda KRU.

“Kami amat terharu dengan sambutan ini. Tiket hari pertama habis dalam masa satu jam, manakala hari kedua dalam hanya 45 minit. Ini semua tanda kasih sayang dan penghargaan peminat buat IKON trio negara kita. Saya mewakili ICON ENTERTAINMENT dan KRU berasa sangat terharu dan ‘speechless’,” ujar Iman Tang.

Atas permintaan tinggi dari peminat yang membanjiri saluran media sosial mereka, ICON ENTERTAINMENT bersama KRU telah membuat keputusan pantas untuk menambah satu lagi malam persembahan, iaitu pada Ahad, 11 Mei 2025. Keputusan ini juga mengambil kira cuti umum Hari Wesak pada Isnin, 12 Mei 2025, sekali gus membolehkan peminat menikmati konsert tanpa kekangan masa.

“Keputusan ini dibuat setelah menimbang tara banyak aspek dan melihatkan hari Isnin merupakan hari cuti dan tidak menyulitkan peminat. Kami juga menerima banyak usulan daripada peminat yang mahu menonton sekali lagi kerana tidak puas dengan momen sebelum ini,” jelas Dato’ Norman mewakili KRU.

Tiket bagi malam keempat ini akan mula dijual pada:
8 Mei 2025 (Khamis), jam 1 petang
di laman rasmi: www.ticket2u.com.my/kruDay4

Kategori dan Harga Tiket:

  • Impak Maksima – RM 588
  • Gerenti Beres – RM 548
  • Balada Hati – RM 508
  • Wanita – RM 478
  • Cherrina – RM 358
  • Malam Kita – RM 258

Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi perayaan karya seni dan warisan muzik KRU yang telah membentuk landskap hiburan tanah air sejak dekad lalu. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada sejarah ini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page