Kamisempoi Golden Award 2024 Perluas Pengaruh KSIA di Asia Tenggara, Perkenal Label Muzik dan Anugerah Baharu

KAMISEMPOI INTERNATIONAL AGENCY (KSIA) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai agensi TikTok tempatan yang berpengaruh dengan penganjuran edisi terbaharu Kamisempoi Golden Award 2024, yang akan berlangsung pada 12 Mei ini di Galaxy Banquet Hall, Sentul, Kuala Lumpur.
Menariknya, edisi tahun ini menyaksikan pertambahan besar dalam jumlah kategori yang dipertandingkan – daripada 22 kategori pada tahun lalu kepada 27 kategori, termasuk tiga anugerah baharu iaitu Top Host KamiSempoi – Malaysia 2024, Top Host KamiSempoi – Indonesia 2024 dan Top Host KamiSempoi – Singapura 2024, yang akan bersaing untuk gelaran utama Top Host KamiSempoi of The Year 2024.

“Peningkatan kategori ini mencerminkan perkembangan pesat KSIA di rantau Asia Tenggara. Kami kini menaungi lebih 3,100 live host di Malaysia, 1,400 di Indonesia dan 100 di Singapura. Ini satu lonjakan besar berbanding tahun lalu,” ujar pengasasnya, To Chin Swee atau lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee.
KSIA juga kekal sebagai No. 1 Platinum Agency di Malaysia dan berada dalam kelompok Top 7 TikTok Agency di Asia Tenggara. Selain menganjurkan anugerah sebagai penghargaan kepada live host serta rakan niaga yang menyumbang kepada kejayaan agensi ini, KSIA kini mengambil langkah lebih besar dengan mengembangkan sayap ke industri muzik.
Perkenal Label Muzik Rasmi dan Lagu “KamiSempoi”
Sebagai permulaan, KSIA bakal melancarkan label muzik rasmi mereka pada pertengahan tahun ini. Inisiatif ini dimulakan dengan kolaborasi bersama Miaw Music untuk menerbitkan lagu KamiSempoi, ciptaan Kimchi Kacak, yang akan dipersembahkan buat pertama kali oleh penyanyi dan live host TikTok, Bulan Asyraff, dalam acara anugerah tersebut.

Bulan Asyraff, bekas busker jalanan yang kini menjadi fenomena media sosial, merupakan contoh kejayaan hasil bimbingan KSIA. Beliau telah mewakili agensi dalam program realiti Gimme The Mic anjuran TikTok dan Astro, serta berjaya menempatkan diri sebagai finalis The Six, sekaligus membuka peluang baharu dalam dunia hiburan digital dan arus perdana.
Rakan Niaga Raih Pendapatan Mencecah Ratusan Ribu
Selain memberi tumpuan kepada bakat live host, KSIA turut menghargai kejayaan rakan niaga mereka. Tiga entiti – BossKlan, KSIA Christ dan Mentol Talent – mencatat jumlah pendapatan diamond yang tinggi sepanjang tahun lalu, masing-masing mencecah antara RM67 ribu hingga RM309 ribu.
“Ini bukti bahawa live streaming boleh menjadi satu kerjaya yang lumayan apabila dilakukan secara strategik dan profesional,” kata Pakcik Chin Swee.
Perluas Cawangan ke Sabah, Kukuhkan Empayar di Asia
Melihat kepada permintaan tinggi, terutamanya dari Borneo, KSIA kini dalam perancangan untuk membuka pejabat baharu di Sabah bagi memfokuskan pencarian dan pembangunan bakat dari Sabah dan Sarawak. Langkah ini adalah sebahagian daripada misi jangka panjang KSIA untuk memperluas pengaruh ke seluruh Asia Tenggara dan seterusnya ke peringkat Asia.

Dengan penganjuran Kamisempoi Golden Award 2024 serta pelancaran label muzik rasmi, KSIA membuktikan komitmennya dalam membentuk ekosistem kukuh untuk para bakat digital di era masa kini.