RPM Group Dilancar, Rockology 2025 Gegar Malaysia

Industri hiburan Malaysia mencatat sejarah baharu dengan pelancaran rasmi RPM Group of Companies, satu entiti yang menghimpunkan tiga cabang utama dalam dunia seni dan hiburan tempatan. RPM Group merangkumi Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd., yang berperanan dalam penerbitan kandungan kreatif seperti drama dan filem; RPM Events Sdn. Bhd., syarikat yang fokus kepada pengurusan konsert dan acara berskala besar; serta RPM Labels Sdn. Bhd., label rakaman yang komited membangunkan bakat baharu dan menghasilkan muzik tempatan berkualiti tinggi.
Menurut Dato’ Eddy Amir Salim, Pengarah RPM Group, penubuhan ini bukan sekadar penggabungan perniagaan, tetapi satu usaha strategik untuk memperkukuh industri hiburan tanah air dengan pendekatan profesional, tersusun dan berimpak tinggi. Beliau menekankan bahawa sinergi antara ketiga-tiga entiti ini mampu melahirkan karya-karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membawa nilai kepada masyarakat dan negara.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran ini, RPM Events turut mengumumkan penganjuran Rockology Concert Tour 2025, sebuah jelajah konsert berskala nasional yang bertujuan mengembalikan kegemilangan muzik rock Malaysia. Konsert ini akan menampilkan dua nama besar dalam arena muzik rock tanah air, iaitu Dato’ Awie dan Kid Din dari kumpulan Search, yang bakal bergabung dalam satu pentas penuh semangat dan nostalgia.
Dato’ Awie menyatakan keterujaannya untuk terlibat dalam projek ini, sambil menekankan bahawa Rockology bukan sekadar persembahan muzik, tetapi satu gerakan untuk menyemarakkan kembali jiwa rock tempatan. Tambahnya lagi, sebahagian daripada hasil konsert akan disalurkan kepada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) RPM, termasuk projek “Konsert Wings Dalam Penjara” yang memberi fokus kepada pemulihan komuniti terpinggir.

Rockology Concert Tour 2025 akan berlangsung di dua lokasi utama – Midtown Perda, Pulau Pinang pada 21 Jun 2025 bagi North Chapter, dan EduCity Sports Complex, Johor pada 5 Julai 2025 bagi South Chapter. Jelajah ini dijangka menarik sehingga 15,000 peminat muzik rock dari seluruh Malaysia dan Singapura. Tiket bagi North Chapter kini mula dijual melalui laman web rasmi https://rpm.ubertickets.asia/ dengan harga bermula serendah RM98, manakala maklumat mengenai jualan tiket South Chapter akan diumumkan tidak lama lagi.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran barisan artis terkenal, pengurusan kanan RPM Group serta pengumuman kerjasama strategik daripada rakan-rakan industri. RPM turut menyeru mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi penaja atau rakan kolaborasi agar bersama-sama menjayakan konsert ini sebagai satu platform muzik serta gerakan budaya dan sosial yang memberi impak menyeluruh kepada komuniti.
