March 12, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Achey Kembali Meriahkan Aidilfitri Dengan ‘Ragam Raya’ Menampilkan Tantari dan Baby Feaaa

Spread the love

Penyanyi, komposer, dan pelawak popular, Achey kembali menceriakan suasana Aidilfitri dengan single raya terbarunya berjudul Ragam Raya. Lagu ini menjadi lebih istimewa apabila Achey turut menampilkan penyanyi baharu, Baby Feaaa, serta penyanyi cilik yang tular, Tantari, sekali gus menambahkan keunikan serta kelainan dalam karya tersebut.

Ragam Raya mengetengahkan pelbagai situasi yang sering berlaku menjelang Hari Raya Aidilfitri, termasuk kegilaan membeli pakaian baharu dan kebiasaan membandingkan gaya serta persiapan sesama keluarga dan rakan. Dengan lirik yang santai dan melodi ceria, lagu ini membawa elemen segar yang jarang diketengahkan dalam lagu-lagu raya sebelum ini.

Menurut Achey, lagu ini telah dihasilkan sejak penghujung September tahun lalu, namun rakaman dilakukan kemudian bagi menyesuaikan jadual semua artis yang terlibat.

“Saya dah buat demo lagu pada September, tapi rakaman mengambil masa kerana perlu menyesuaikan jadual Baby Feaaa dan Tantari. Baby Feaaa pula sedang belajar di Kelantan, jadi proses rakaman sedikit tertangguh,” kata Achey mengenai perjalanan penerbitan lagu ini.

Pemilihan Baby Feaaa dalam Ragam Raya bukan sekadar keputusan kreatif, tetapi juga satu penghormatan buat arwah bapanya, Harun Salim Bachik, yang pernah membantu mencungkil bakat Achey dalam industri seni.

“Arwah Harun pernah membantu saya pada tahun 2012 dan selepas pemergiannya, saya rasa terpanggil untuk membantu Baby Feaaa ke hadapan. Alhamdulillah, sebelum ini dia sudah ada lagu duet dengan saya berjudul Kabus dan kini kami keluarkan lagu raya bersama,” jelas Achey.

Selain Baby Feaaa, penyanyi cilik Tantari juga turut serta dalam lagu ini. Achey mendedahkan bahawa pemilihannya dibuat kerana mereka pernah berduet sebelum ini dalam lagu Biar.

“Lagu raya ini ibarat satu kumpulan kecil yang saya hasilkan untuk menampilkan penyanyi-penyanyi yang pernah menyanyikan lagu ciptaan saya. Setiap tahun, saya bercadang untuk mengumpulkan mereka dalam sebuah lagu raya bersama,” tambahnya lagi.

Achey dikenali dengan gaya lagu rayanya yang berbeza daripada kebiasaan. Jika sebelum ini beliau memperkenalkan Raya Rempit yang menampilkan kegilaan menghias motosikal sempena Hari Raya, tahun ini beliau memilih untuk membawa realiti persiapan raya yang sering berlaku tetapi jarang ditekankan dalam lagu-lagu raya.

“Kalau tahun sebelum ini saya buat lagu Raya Rempit, kali ini saya angkat realiti persiapan raya yang biasa tetapi tidak selalu dimasukkan dalam lagu,” jelas Achey.

Achey berharap Ragam Raya akan diterima ramai dan menjadi salah satu lagu raya yang dimainkan setiap tahun.

“Saya ingin berterima kasih kepada label saya iaitu Seventeen Eleven Music, 360 Production, rakan media serta penaja utama, Sepulau Bintang, yang telah membantu menjayakan muzik video lagu ini. Harapan saya, lagu ini akan diterima ramai dan mungkin menjadi viral,” katanya dengan penuh harapan.

Selain itu, Achey turut merancang untuk menampilkan seorang lagi penyanyi dalam projek muziknya selepas Hari Raya nanti, termasuk anaknya sendiri yang bakal membuat pelbagai cover lagu dalam versi kanak-kanak.

Single Ragam Raya terbitan Seventeen Eleven Music boleh mula distrim di semua pelantar penstriman muzik mulai Jumaat, 7 Mac lalu. Muzik video rasmi lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari yang sama pada jam 10 malam.

Tonton muzik video rasmi di sini: https://youtu.be/QAbivSUfiuU.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page