Soma Raikan Aidilfitri Lebih Awal: Pelancaran “Aku Tetap Raya” Meriah Dengan Iftar Bersama Media

Di bulan penuh keberkatan ini, penyanyi berbakat besar Soma atau nama sebenarnya Rosmah S. Sengari @ Basar, tampil dengan satu acara istimewa bagi menghargai sokongan rakan-rakan media terhadap perjalanan seninya. Bertempat di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, majlis berbuka puasa “Iftar Media Gathering” yang dianjurkan bukan sahaja menjadi wadah mengeratkan ukhuwah, tetapi turut menyaksikan pelancaran lagu dan video muzik (MV) terbaharunya, Aku Tetap Raya.

Lagu yang penuh keceriaan ini adalah hasil ciptaan gabungan bakat Belle Fattah, Adinda Amiro dan Soma sendiri. Sarat dengan mesej kegembiraan dan kehangatan Syawal, Aku Tetap Raya mengangkat semangat Aidilfitri sebagai satu perayaan penuh makna, tidak kira di mana atau bagaimana ia disambut. Dengan melodi yang segar dan lirik yang membangkitkan nostalgia, Soma berharap lagu ini dapat menemani peminat sepanjang musim perayaan tahun ini.

Namun, kejutan sebenar menanti dalam MV rasmi Aku Tetap Raya! Video muzik ini menampilkan figura tersohor industri seni tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim, yang merupakan idola dan sumber inspirasi terbesar buat Soma. Kemunculan legenda ini pastinya memberikan sentuhan istimewa, menjadikan MV ini bukan sekadar hiburan tetapi juga satu penghormatan kepada ikon seni tanah air. Turut mencuri tumpuan adalah kehadiran Zahnita, model terkenal Malaysia yang kini kembali aktif dalam dunia hiburan, menambahkan lagi daya tarikan MV tersebut.

“Saya sangat teruja dengan majlis ini. Ia bukan sahaja menjadi platform pelancaran lagu dan MV rasmi saya, tetapi juga satu peluang istimewa untuk saya bertemu dan berbuka puasa bersama rakan-rakan media yang selama ini banyak menyokong perjalanan seni saya. Terima kasih atas sokongan mereka, terutama selepas pelancaran album pertama saya, Perjalanan. Saya berharap lagu ini dapat menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini!” ujar Soma ketika ditemui media pada 6 Mac lalu.
Album sulung Soma, Perjalanan, yang dilancarkan baru-baru ini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan. Memuatkan lima buah lagu, album ini turut menampilkan tiga karya istimewa ciptaan komposer tersohor, Allahyarham S. Atan. Dengan penerimaan positif daripada peminat, Soma semakin kukuh menapak dalam industri muzik tanah air.
Kini, dengan pelancaran Aku Tetap Raya dan MV rasmi yang penuh warna-warni, Soma berharap dapat menyebarkan keceriaan dan semangat perayaan kepada semua. Lagu ini bakal menemui pendengar di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music bermula 14 Mac ini. Jangan lupa juga untuk menikmati MV rasmi yang menjanjikan sebuah pengalaman yang menghiburkan dan penuh nostalgia.