March 12, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Aku Bukan Untukmu” – Nostalgia, Penyesalan & Magis Anggi Marito

Spread the love

Ada cinta yang datang terlambat. Ada rasa yang hanya dihargai setelah hilang. Inilah perasaan yang meresap dalam setiap bait lagu “Aku Bukan Untukmu,” kini dihidupkan semula oleh suara merdu Anggi Marito.

Di bawah label Universal Music Indonesia, Anggi mengambil cabaran besar untuk membawakan semula lagu yang pernah menjadi fenomena pada tahun 2004, dendangan asal Rossa dan ciptaan Aji Mirza Hakim (Icha Jikustik). Lagu ini bukan sekadar sebuah balada patah hati, tetapi sebuah perjalanan emosi—penyesalan yang tak terucap, kesedihan yang tak tertahan, dan kesedaran bahawa cinta, meskipun tulus, tidak selalunya berakhir bahagia.

Memikul lagu yang begitu sinonim dengan seorang diva bukan tugas mudah, dan Anggi Marito mengakui bahawa dia sendiri berasa gentar.

“Jujur, saya sangat gugup bila diberitahu tentang projek ini. Lagu ini sudah begitu melekat dengan gaya dan jiwa Teh Ocha (panggilan mesra Rossa). Ia satu cabaran besar untuk menjadikannya lebih segar tanpa menghilangkan keaslian lagu ini. Namun akhirnya, saya berpuas hati dengan hasilnya,” luah Anggi.

Untuk memastikan versi ini memiliki identiti tersendiri, pengarah vokal Barsena Bestandhi mengarahkan banyak improvisasi, memberi ruang kepada Anggi untuk meletakkan cap peribadinya pada lagu ini.

“Tantangan terberat ialah banyaknya improvisasi yang diarahkan oleh Kak Barsena. Ada banyak elemen yang saya tak jangka, tetapi akhirnya semuanya berjaya dilaksanakan dengan baik,” tambahnya.

Jika versi asalnya berlatarkan alunan piano dan string yang syahdu, versi Anggi Marito diberi nafas baru dengan sentuhan moden, menggabungkan beat kontemporari dan elemen orkestra dari Budapest Scoring Orchestra. Produksi ini diketuai oleh S/EEK, memastikan setiap nada dan melodi terjalin sempurna dengan karakter vokal unik Anggi.

Menariknya, dalam proses rakaman, Anggi sempat bertemu dengan Rossa. Reaksi Rossa? Penuh penghargaan.

“Saya sangat suka dengan hasilnya, sangat bagus. Karakter vokal Anggi membuatkan lagu ini terasa segar, penuh emosi, dan susunan muziknya sangat memukau tanpa menghilangkan nuansa klasiknya,” ujar Rossa.

Dengan pelancaran versi baru ini, Anggi Marito dan Rossa berharap lagu ini dapat diterima dengan hati terbuka, baik oleh peminat lama mahupun generasi baru yang mungkin pertama kali mendengarnya.

“Saya rasa sangat gembira kerana lagu ini dilancarkan semula. Bagi mereka yang pernah mendengarnya dahulu, ia boleh menjadi kenangan indah. Tetapi bagi generasi baharu, lagu ini mungkin boleh menjadi anthem yang baru,” kata Rossa.

Anggi pula berharap agar lagu ini dinikmati tanpa perbandingan yang keterlaluan.

“Harapan saya, lagu ini diterima ramai tanpa perlu dibandingkan dengan versi asal, kerana apa pun versinya, lagu ini tetap indah untuk dinikmati,” tambahnya.

Sama ada anda mengenang luka lama atau sekadar menikmati keindahan melodi, “Aku Bukan Untukmu” versi Anggi Marito menjanjikan pengalaman emosi yang mendalam.

Dengarkan sekarang di platform muzik digital kegemaran anda:
https://lnk.to/AnggiMaritoAkuBukanUntukmu

Tonton video muzik rasmi di sini:
https://youtu.be/_6KIhBIa8e4


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page