March 15, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Penantian Lebih 45 Tahun yang Cukup ‘Berbaloi’

Spread the love

ASKA’s “WHO is ASKA!?” Tour – Keajaiban Muzik, Kejutan Setiap Detik

Setelah sekian lama berdiskusi dengan topik ‘Who is ASKA’, akhirnya menemui jawapan apabila ASKA mengotakan janjinya untuk beraksi di Malaysia.  Penantian selama 45 tahun berakhir apabila ASKA mengadakan konsert sulungnya di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Februari lalu.

Lebih manis kehadiran beliau turut ditemani anaknya, Kaoru Miyazaki yang kini sedang mengukir nama dalam bidang seni.

Siri jelajah “WHO is ASKA!?” di Malaysia bermula dengan gegaran. Sejak detik lampu pentas menyala, dewan bergetar dengan jeritan dan tepukan gemuruh. Tidak ada siapa yang tahu apa yang bakal dimainkan, namun setiap intro lagu mengundang reaksi keterujaan.

Namun, ini bukan sekadar nostalgia atau setlist biasa. ASKA dan bandnya tidak hanya membawakan lagu-lagu hit, mereka menghidupkannya semula dengan tenaga yang segar dan penuh intensiti. Setiap lagu bagaikan helaian cerita yang diwarnai dengan perasaan, setiap detik bagaikan klimaks yang tiada penghujung.

‘Who Is ASKA’, ini adalah babak baru dalam perjalanan seorang legenda. Ada ketegangan, ada debaran, namun itu hanya menjadikan persembahan lebih mendalam.  ASKA mengajak penonton menyelami perjalanan ini sebagai satu peminat, band, dan dirinya sendiri, mencipta sesuatu yang lebih besar daripada sekadar konsert.

Lebih 250 lagu bersama CHAGE dan ASKA, lebih 120 lagu solo, tetapi hanya yang terbaik terpilih untuk malam itu. Setlist “WHO is ASKA!?” bagaikan kapsul masa, memanggil kembali aura 90-an tetapi dengan sentuhan baru yang lebih matang, lebih bertenaga.

Menerusi konsert sulungnya, ASKA menyampaikan 20 buah lagu yang cukup dekat di hati para peminatnya. Guys, Love Affair, Hang Up The Phone, Love Song, Brother, Girl, You Are Free, To Love You More,  Cry dan Pride.  Bagaikan tidak lengkap seleksinya tanpa Say Yes, Heart, Yah Yah Yah dan On Your Mark.

Bagi peminat lama, ia adalah perjalanan waktu yang mengimbau kenangan. Namun, ini bukan sekadar mengulang masa lalu, ia adalah ciptaan semula. Nostalgia dan pembaharuan berjalin erat, menghasilkan sesuatu yang lebih hidup, lebih nyata. Lagu-lagu yang pernah menggema di stadium besar kini dialunkan dengan jiwa yang lebih mendalam, membuatkan setiap nota terasa lebih bermakna dan dipersembahkan dengan penuh penghayatan di ruangan yang lebih intim bersama peminat setianya.

Meskipun hanya 700 orang khalayak yang hadir, namun inilah fanatika sebenar buat ASKA, malah beliau turut teruja dengan kehadiran peminat yang sanggup ‘terbang’ dari Jepun ke Malaysia hanya ingin menyaksikan persembahan yang boleh diklasifikasikan cukup eksklusif, cukup intim malah adrenalin yang mengalir pada tubuh fanatikanya adalah melodi dan suara ASKA.

Jika muzik adalah bahasa emosi, maka suara ASKA adalah terjemahan yang paling indah. Lantang dan penuh tenaga, meresap ke dalam sanubari, menggetarkan setiap hati yang mendengar.

“Suara saya berada dalam keadaan terbaik sepanjang jelajah tahun lalu. Saya fikir saya tidak boleh berhenti. Jadi, saya teruskan dengan jelajah ini.”

Meskipun kadangkala vokalnya tidak kedengaran begitu kuat tetapi penuh beremosi. Ada lagu yang dinyanyikan seolah-olah monolog peribadi, seperti bisikan rahsia kepada setiap individu di dewan. Setiap nada tinggi menusuk ke langit, setiap getaran rendah menghujani hati dengan perasaan. Penonton tenggelam dalam lautan emosi yang dibawa oleh ASKA, seolah-olah merasai setiap bait lirik yang dinyanyikannya.

ASKA tidak bersendirian. Band yang mengiringinya adalah tulang belakang kepada keajaiban malam itu. Setiap melodi disenyawakan bersama muzik yang cukup mendambakan jiwa.  Kombinasi ini mengubah setiap lagu menjadi pengalaman baru. Bunyi yang segar, dinamik yang lebih luas, setiap pemain instrumen memberikan warna tersendiri kepada pentas.

“WHO is ASKA!?” akan terus bergerak dari satu bandar ke bandar lain, ianya telah bermula dari  Jepun ke Asia dan Amerika Syarikat. Setlist akan berubah, persembahan akan berkembang, dan hubungan antara ASKA, band, dan penonton akan terus mendalam.

Tanpa paksaan khalayak mengangkat tangan kecil mereka dalam kegembiraan. Hari ini mereka menyaksikan legenda, dan mungkin beberapa dekad dari sekarang.

Konsert ini bukan sekadar untuk peminat lama malah iaya adalah jambatan generasi, membawa legasi muzik ASKA ke masa depan. Bagi mereka yang pernah mengaguminya, ini adalah peluang untuk merasai keajaibannya.  Ianya tiada ulangan semuanya hanya mungkin sekali sahaja.  Bagi yang baru mengenali ASKA, ini adalah pintu masuk ke dunia muziknya yang penuh magis.

“WHO is ASKA!?” Konsert Ini Ada Jawapannya dan mungkin inilah jawapan yang paling sesuai.  Beliau adalahseorang pencipta lagu yang hebat. Seorang penyanyi luar biasa. Seorang yang menyatukan orang ramai melalui muziknya. Seorang yang sentiasa ingin memberikan kejutan dan kegembiraan kepada peminat dan seorang yang tidak pernah berhenti mencabar dirinya sendiri.

ASKA terus melangkah, meneroka muzik dengan keberanian yang luar biasa. Dan bagi kita yang berada di sana malam itu, satu perkara pasti – kita telah menyaksikan sesuatu yang lebih daripada sekadar konsert. Kita telah menyaksikan sebuah perjalanan, sebuah cerita, sebuah keajaiban.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page