November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Jasad Roh dan Semangat Muzik Diterjemahkan Di Pentas Nusafest

Spread the love

Meskipun beberapa kali di tunda, akhirnya festival muzik Nusafest berjaya dirialisasikan pada 8 dan 9 Julai lalu.  Festival yang menghimpunkan pemuzik 3 negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura itu membuktikan bahawa tiada jurang perbezaan falsafah muzik dalam berkarya.

Acara dua hari Nusafest anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd  yang berlangsung di Bandar Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur itu bermula sejak jam 12 tengah hari sehingga sekitar tengah malam, kemeriahan di festival ini bersumberkan koleksi genre muzik berbeza, antaranya rock, ska, rap, grunge, metal, metalcore dan reggae.

Hari Pertama menghimpunkan band seperti Barasuara, Efek Rumah Kaca,Salam Muzik, Kelompok Penerbang Roket, Dipha Barus,Ras Muhamad, White Percusion Unit dan Iqbal M.  Masing-masing mempunyai kelompok peminat mereka sendiri.

Perhatian peminat muzik khususnya nuansa metal pastinya tertumpu pada Burgerkill yang turut di undang memeriahkan pesta Nusafest kali ini.  Band yang telah ditubuhkan pada tahun 1995 ini nyata tampak garang di atas pentas.  Ini bukanlah kali pertama beraksi di Malaysia, malah telah beberapa kali mengadakan persembahan di gig-gig berskala kecil.

Tidak perlu dipertikai apa yang mereka lagukan, inilah melodi dan karya yang didambakan malah cabang muzik itu turut merangkumi genre metal itu sendiri.  Energi dan kuasa Burgerkill di pertontonkan kepada khalayak Nusafest.  Aksi-aksi mereka sentiasa menjadi tumpuan lensa kamera apatah lagi diserikan montaj yang sentiasa menghidupkan layar led yang membelakangi mereka.

Bukan hanya Burkerkill yang menjadi perhatian penggemar irama keras, Seringai juga tidak ketinggalan.  Mereka juga turut di undang, band yang di tubuhkan pada tahun 2002 oleh vokalisnya yang sebelum itu membarisi band Puppen.  Bersandarkan muzik post hardcore sudah pasti kehadiran mereka mencuri tumpuan peminat metal tempatan.

Warna muzik yang di dambakan sudah pasti turut menjadi energi persembahan mereka yang seakan tiada noktah.  Tidak hairanlah mengapa mereka mendominasi Album Rock Terbaik pada tahun 2013 di Anugerah Muzik Indonesia. 

Search antara jenama besar yang mendukung ‘headliner’ Nusafest, ikon rock yang tidak perlu diperkenalkan kepada khalayak.  Wajah Datuk Amy, Man Keedal, Hilary Ang, dan Nasir sudah tentu sentiasa berlegar-legar di minda peminat muzik rock, tetapi wajah Naimi yang baru berusia 17 tahun menggalas tugas sebagai pemain dram pastinya menimbulkan keraguan di kalangan khlayak yang hadir.

Naimi akhirnya memecah kerisauan peminat apatah lagi duduk sebaris dengan nama besar Search menerusi konsistenasinya bermain dram apatah lagi hentakkan double padel yang cukup padu serta lincahnya ketukan selari dengan melodi dan muzik yang dipersembahkan.

Tidak perlu menanti terlalu lama, Search menghamburkan lagu-lagu seperti Diari Habil dan Qabil, Gothik Malam Edan, Isi atau Kulit, Cakap Memang Murah, Rozana, Isabella, Paranoid, Pelesit Kota dan Pawana.

Kredit harus diberikan kepada Amy yang berusaha memberikan yang terbaik buat peminat.  Nusafest seakan memberi nyawa buat Search untuk terus kekal relevan pada paksi muziknya.  Kredibiliti Search tidak harus terus di perlekehkan.  Search tetap rock n roll.

Seakan tidak mahu mengalah Wings kali ini dilihat cukup ‘liar’ apatah lagi ketika papan LED mempromosikan “The Rock Emperor” seraya petikan solo Edrie Hashim bergema di seluruh ruang angkasa Bandar Malaysia dan akhirnya bersatu dengan melodi drum dan bass yang menjadikan Romania sebagai pemanas pentas.

Opera Hidup, Jumpa Hilang dan Bujang Senang di terjemahkan dalam gaya Wings itu sendiri.  Lari daripada struktur kaset dan CD malah ianya dirangka dengan lebih bijak dan bertenaga.  Inilah roh muzik yang diterjemahkan di atas pentas selari dengan video mapping yang memberikan aura dan jiwa kepada khalayak untuk menikmati karya.

Tidak terhenti disitu ‘peperangan’ gitar antara Edrie Hashim dan Sham terus berlaku seakan tiada noktah.  Masing-masing seakan mengekspresi rasa amarah menerusi muzik yang cukup memberikan impak kepada pengaruh Wings.

“Terima kasih buat penganjur Nusafest kerana memberikan platform ini kepada Wings dan kepada band lain, semoga acara Nusafest ini akan terus di anjurkan di tapak ini dan menjadi jenama yang terus unggul”, ujar Dato’ Awie

“Dalam kita bergembira pasti ada duka, Eddie yang baru sahaja kehilangan isteri tercintanya semalam begitu juga Bella, namun sikap prefisonalisma yang ditunjukkan dan komitmen yang jitu daripada mereka, saya ucapkan terima kasih”, tambah beliau.

Harapan dan Dalam Kehadiran Sofiah kemudiannya dipersembahkan, Energi kembali dikuasakan dengan untaian lagu-lagu seperti Lipas Kudung, Jerangkung Dalam Almari, Peronda Jaket Biru dan Sejati yang menutup tirai persembahan Wings di Nusafest.

Turut serta di Nusafest pada 9 Julai adalah Kugiran Masdo, Forceparkbois, Iqbal M, Jemson, Budak Nakal Hujung Simpang, Gerhana Skacinta, Monoloque, Fourtwnty, Pusakata, The Changcuters, Diskoria. The Pinholes dan Butterfingers.

Selain penangan muzik yang pelbagai pengunjung juga berkesempatan untuk menikmati PASAR NUSA, sebuah kurasi istimewa hasil kolaborasi bersama R!UH. Diadakan di ruangan pesawat lama Bandar Malaysia, kurasi kreatif ini menghimpunkan sebanyak 60 jenama barangan dan hasil dari penggiat industri kreatif selari dengan misi dan visi R!UH sebagai sebuah inisiatif yang menghubungkan komuniti kreatif dengan orang ramai.

Nama-nama yang bakal menghadirkan aura tersendiri menerusi substage di PASAR NUSA pula adalah A.Limin, Kolar Hijau, Motherwit, Satwo dan Teman Lelaki. Ruang set DJ akan dikemudikan oleh Awyn, Emai, Killah Z, MMK, S.Shahrin, Velvet, Wakmy dan Wayne.

NUSAFEST juga menyediakan sekitar 60 buah warung makanan dan minuman serta 20 trak makanan yang merangkumi vendor-vendor terkenal tempatan seperti Kopi Dua Darjat, Minuum KL, Laiyan KL, Miker Pizza, Sloopyan Hotdog, Nachoslah Global, Kelava dan The Gorpis. Buat peminat makanan dan minuman Nusantara, hidangan dari Indonesia juga disediakan khusus buat pengunjung.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page