March 14, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ryan Bakery Seronok Kendali Segmen 3 Pagi Era

Spread the love

Ryan Bakery menafikan anggapan tugas sebagai penyampai radio itu mudah. Sebaliknya, hakikatnya banyak perkara yang perlu dipelajari termasuklah berkomunikasi secara realistik agar tidak dianggap ‘syok sendiri’ ketika bersiaran.

Mengendalikan segmen 3 Pagi Era bersama Nabil Ahmad dan Radin sejak awal minggu lalu, Ryan menyifatkan pengalaman tersebut membuka matanya tentang banyak perkara penting ketika berada di konti.

“Ramai pendengar berpendapat menjadi penyampai radio memang satu kerja yang mudah. Hakikatnya ia bukanlah semudah yang disangka memandangkan banyak perkara yang perlu diambil kira ketika bersiaran.

“Kita selalu menganggap penyampai radio hanya bercakap tetapi apa yang lebih penting adalah keserasian dan bagaimana sesuatu topik perbincangan akan dibahaskan bukan sahaja sesama penyampai tetapi juga dengan pendengar,” kata Ryan.

Ryan gembira dapat berinteraksi bersama pendengar yang sentiasa proaktif dalam memberikan idea dan pendapat saat mereka mengulas tentang topik perbincangan harian.

Penyampai perlu bijak berinteraksi dan melayan emosi pendengar yang ada kalanya mencari tempat untuk meluahkan perasaan.

“Di situlah saya melihat peranan penyampai dalam membawa emosi pendengar untuk bercerita. Nabil dan Radin sudah berpengalaman luas dan tahu bagaimana untuk mengawal keadaan.

“Saya dapat banyak pengalaman dan pelajaran baharu bersama mereka. Mereka pula tidak lokek membantu orang baharu seperti saya,” kata finalis kategori Digital Creator (Hiburan) Tergempak, Gempak Most Wanted Award ini lagi.

Ryan gembira melihat maklum balas positif yang ditinggalkan oleh pendengar di media sosial.

Sebagai orang baharu, maklum balas berkenaan amat penting kepada Ryan untuk terus memberikan yang terbaik sepanjang berada di stesen Era.

“Pada peringkat awal memang saya takut memandangkan terpaksa menggantikan tempat Pak Azad yang sedang menunaikan umrah. Takut juga kalau ada perbandingan memandangkan dia sudah berpengaruh dan mempunyai pengikut tersendiri.

“Tapi bila melihatkan respons daripada pendengar, saya lega. Mereka tidak membandingkan dan menerima Ryan Bakery. Itu sudah cukup memberikan kelegaan.

“Mungkin ini adalah rezeki baharu buat saya untuk mengembangkan lagi cabang lain dalam bidang seni,” katanya yang baru sahaja menghantar kedua orang tuanya menunaikan umrah minggu lalu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page