Demolish Terror Gempur Jepun: Grindcore Malaysia Ke Pentas Antarabangsa
Bloodbath Records, label rekod dan pengedar muzik ekstrem dari Chiba, Jepun, mengumumkan satu berita yang pasti menggegarkan peminat grindcore—band grind kejam dari Malaysia, Demolish Terror, bakal melangsungkan Japan Tour 2025!
Berakar dari Kuala Lumpur, Demolish Terror telah lama dikenali sebagai salah satu unit grindcore old-school yang teguh dengan identiti muzik mereka. Menampilkan riff yang penuh agresi, letupan blastbeat yang tiada belas kasihan, dan vokal yang garang, band ini bakal membawa kemarahan sonik mereka ke pentas-pentas Jepun.
Jelajah ini bakal menyaksikan mereka menghancurkan lima lokasi utama: Tokyo Asakusa (Gold Sounds) pada 1 Oktober, Nagoya Higashiyama (Studio 246) pada 3 Oktober, Shizuoka (So-Gen) pada 4 Oktober, Nishi Yokohama (El Puente) pada 5 Oktober, sebelum menutup tirai di Tokyo Koiwa (Bush Bash) pada 6 Oktober.
Menerusi slogan “You Will Live in Terror”, Demolish Terror berjanji untuk memberikan pengalaman grindcore yang penuh keganasan dan tanpa kompromi kepada peminat Jepun. Selain persembahan bertenaga, mereka juga akan membawa rilisan terbaru serta merchandise eksklusif untuk peminat yang hadir di setiap venue.
Dengan ini, Demolish Terror terus membuktikan bahawa muzik grindcore Malaysia mampu berdiri sama tinggi di pentas antarabangsa. Jepun, bersiaplah untuk dihancurkan!