January 10, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Vanessa Reynauld & Rebel Asia Berlumba “To The Finish Line”

Spread the love

Buat pertama kalinya label terkenal Sony Music Malaysia menggabungkan dua penyanyi popular, bintang bersuara emas, Vanessa Reynauld dan bintang hip-hop dinamik, Rebel Asia dalam sebuah single berjudul ‘To The Finish Line’. Runut bunyi rasmi (OST) untuk filem yang bakal ditayangkan pada 23 Januari 2025, “Soloz Game of Life”.

Filem “Soloz Game of Life” merupakan sebuah karya yang menyentuh emosi dan memacu adrenalin, menonjolkan perjuangan sengit dalam dunia e-sukan popular, Mobile Legends. Lagu ‘To The Finish Line’ mengangkat tema ketabahan, keberanian dan kesatuan, sejajar dengan jalan cerita filem yang penuh emosi dan cabaran ini.

Menurut Vanessa, ‘To The Finish Line’ diilhamkan sepenuhnya daripada “Soloz Game of Life”. “Idea lagu ini berdasarkan filem tersebut, dan ia dijadikan sebagai lagu penutup kerana sebab itulah tajuknya ‘To The Finish Line’. Ia melengkapkan pengakhiran cerita filem ini,” kata Vanessa.

Rebel Asia menerangkan lagu ini mengangkat tema digital dan dunia permainan video yang menjadi inti kepada filem tersebut. “Kami mahu menghasilkan sesuatu yang lebih digital, kerana ia berkaitan dengan permainan video,” katanya.

“Mesej utama yang ingin disampaikan melalui lagu ini adalah semangat untuk tidak berhenti mengejar impian. Teruslah mengejar apa yang anda impikan dalam hidup kerana anda sendiri yang menentukan di manakah garisan penamatnya,” tambah Rebel.

Vanessa turut menjelaskan bahawa lagu ini berentak rancak untuk menggambarkan suasana dunia permainan video. “Lagu ini sedikit ‘upbeat’ dan sesuai dengan tema filem ini,” tambahnya.

Projek ini turut menjadi peluang buat kedua-dua artis untuk keluar dari zon selesa mereka. Vanessa menyifatkan lagu ini sebagai sesuatu yang belum pernah diterokainya sebelum ini.

“Saya tidak pernah menyanyikan lagu seperti ini. Genre ini merupakan pengalaman baharu kerana ia melibatkan kerjasama dengan seorang DJ dan elemen AI dalam cara nyanyian. Walaupun agak mencabar, namun sangat menyeronokkan,” katanya.

Rebel Asia menjelaskan bahawa genre ini memberi peluang buat mereka mencuba sesuatu yang baharu.

“Lagu ini lebih kepada melodi EDM pop daripada hip-hop, dan itulah sebabnya saya teruja untuk terlibat sama dalam projek ini, kerana ia sesuatu yang segar,” katanya.

Kolaborasi bersama Rebel Asia adalah sebuah keputusan yang tepat, menurut Vanessa, “Saya sangat suka dengan cara Rebel Asia rap, oleh itu saya tidak teragak-agak untuk menghubunginya untuk berkolaborasi. Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengannya.”

Vanessa dan Rebel Asia berharap lagu ini dapat menyentuh hati peminat dan memberi inspirasi buat mereka.

“Semoga semua pendengar dapat menerima lagu ini dan fahami mesej yang cuba disampaikan, serta menggunakan lagu ini untuk video-video TikTok mereka sehingga ‘trending’,” kata Vanessa dengan penuh keyakinan.

Rebel Asia turut berkongsi harapan mereka berdua. “Matlamat kami adalah agar lagu ini memberi inspirasi kepada semua pendengar untuk menjadi diri sendiri dan terus berusaha mencapai apa yang mereka inginkan dalam hidup, tidak kira apa jua cabaran yang dihadapi,” ujarnya.

Lagu ‘To The Finish Line’ kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Spotify dan YouTube Music. Peminat juga boleh menonton video muzik (MV) rasmi yang menampilkan elemen visual digital mengagumkan dan diinspirasikan dari filem secara eksklusif hanya di saluran YouTube sonymusicMYVEVO tidak lama lagi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page