Konsert Megahitz 3 Dekad Vol. 1 ‘Angkat’ Tema ‘Back to The 80’s & 90’s’
Bakal Berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 25 Januari 2025
Peminat muzik tanah air bakal disajikan dengan malam penuh nostalgia dan kehebatan melalui Konsert Megahitz 3 Dekad vol.1, yang menghimpunkan sembilan penyanyi lagenda yang telah mencorakkan landskap industri muzik Malaysia selama tiga dekad.
Konsert istimewa ini dijadualkan berlangsung pada 25 Januari 2025 di Zepp Kuala Lumpur, menampilkan barisan artis tersohor seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin, Andy Flop Poppy, dan Amir Masdi.
Mengangkat tema ‘back to the 80’s & 90’s’, konsert ini dijangka membawa peminat muzik ke era kegemilangan industri muzik tempatan dengan menyaksikan persembahan solo, kolaborasi eksklusif, dan segmen istimewa yang menyatukan artis-artis hebat di atas satu pentas.
Menurut penganjur konsert, yang juga Pengasas dan Pengarah Pentas 365 Events, Afiezan Shah Mohd Zahari, acara ini merupakan penghormatan kepada zaman kegemilangan industri muzik Malaysia.
“Konsert ini bukan sahaja untuk meraikan artis-artis lagenda, tetapi juga untuk mengimbau kembali memori indah era muzik 80-an dan 90-an. Setiap artis yang terlibat telah meninggalkan legasi luar biasa dalam industri muzik tanah air.
“Kami berusaha untuk memberikan pengalaman yang penuh kenangan, di mana penonton boleh menikmati lagu-lagu hits yang pernah memenangi atau dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu. Selain itu, kami turut menyediakan persembahan yang menyentuh jiwa dengan gabungan vokal artis-artis dari generasi berbeza,” ujarnya sewaktu sidang media konsert berkenaan di Hard Rock Café Kuala Lumpur pada 19 Disember lalu.
Penonton bakal dihidangkan dengan 22 lagu yang pernah mengukir sejarah di pentas Anugerah Juara Lagu. Antara momen istimewa yang dinanti-nantikan adalah penampilan khas Kid Search, yang juga pemain gitar asal kumpulan Gersang, untuk mempersembahkan lagu ikonik, Masih Aku Terasa.
Shah turut menyatakan harapan agar konsert ini menjadi perayaan tidak dilupakan, menghimpunkan peminat muzik pelbagai generasi untuk meraikan karya seni artis-artis lagenda.
“Setiap penyanyi dalam barisan ini bukan sahaja ikon seni muzik tetapi juga sebahagian daripada budaya kita. Konsert ini adalah penghormatan kepada mereka yang telah menyentuh hati ramai melalui lagu-lagu berkualiti tinggi,” tambahnya.
Bagi melengkapkan suasana, penganjur menyeru penonton untuk mengenakan kod pakaian bertemakan retro, bagi menghidupkan kembali kenangan indah era muzik 80-an dan 90-an.
Konsert ini menampilkan Shah Slam sebagai pengarah muzik dan turut mendapat sokongan Sinar FM, Gegar FM, dan Zayan FM sebagai radio rasmi.
Tiket untuk konsert ini telah mula dijual sejak 29 September lalu melalui platform www.myticketempire.com. Untuk maklumat lanjut, peminat boleh mengikuti Instagram rasmi Megahitz di @pentas365.