‘Buaian’ Melodi Romantis dan Rock Bersatu di Konsert Jiwa Epilog 24
Fabio Asher, Yuna, Spider dan 6ixth Sense Menghipnosis 8000 Peminat Konsert Anjuran MND Sport & Events
Kredit Foto: MND Sports & Event
Biarpun konsert Jiwa Kacau dan Jiwa Malaysia baru sahaja berlalu, namun keyakinan yang cukup tinggi pihak penganjur MND Sports & Events ternyata memberikan hasil yang cukup lumayan. Lebih 8000 peminat memenuhi Stadium Melawati Shah Alam lantas menjadi saksi kehebatan konsert Jiwa Epilog 2024 yang telah berlangsung pada 7 Disember lalu.
Fabio Asher (Indonesia), Yuna (Malaysia), serta dua kumpulan popular Malaysia, Spider dan 6ixth Sense membuktikan bahawa mereka masih punya peminat dan auranya.
Kumpulan 6ixth Sense, menggalas tanggungjawab ‘berat’ untuk memanaskan pentas sekaligus mencipta khalayak untuk terus ‘memakukan’ diri sehingga ke noktah penamat acara. Mereka yang pernah mencetuskan fenomena dengan album sulung mereka pada tahun 2006 itu masih mampu beraksi di pentas, masih mampu melontarkan untaian lagu-lagu romantis seperti Sepi, Semanis Cinta, Cinta Mati, Yang Sempurnakanku dan Hari Ini Dan Semalam menghidupkan suasana.
Berlalunya 6ixth Sense, malam yang dingin terus dihangatkan oleh penyanyi popular Indonesia, Fabio Asher. Tanpa berceloteh panjang Fabio yang kini semakin dikenali di Malaysia, membuka persembahan dengan lagu Pelan Pelan Menghilang, diikuti Hati Lain di Hatimu dan Bertahan Terluka.
Penonton terpukau dengan vokalnya yang merdu, sebelum Fabio menutup segmen dengan dua lagu kegemaran ramai, Rumah Singgah dan lagu terbarunya Sorry Baby.
Susuk tubuh penyanyi yang kini ‘mendunia’ iaitu Yuna, pastinya menarik peminatnya apatah lagi ‘menjampi’ peminat baharu dengan tampil anggun berbusana bertulisan “Palestine” sebagai tanda solidariti. Beliau memukau penonton dengan persembahan lagu-lagu hitsnya, termasuk Dan Sebenarnya, Lelaki, Decorate, Terukir di Bintang, dan Cinta Sempurna.
Yuna yang kelihatan cukup ‘fresh’ ‘menerbangkan’ imaginasi penonton ke acara Anugerah Juara Lagu itu menutup segmen dengan lagu popular antarabangsa Crush, yang dihasilkan bersama penyanyi terkenal Amerika, Usher, menjadikan malam tersebut lebih istimewa.
Nuansa rock mula berkumandang sekaligus memaksa kumpulan Spider menghidupkan nostalgia peminat dengan lagu-lagu hits mereka seperti Nazraku, Keluar Sarang, Tapi Bagaimana, dan Mungkinkah Terjadi. Spider kelihatan cukup berenergi ketika beraksi di pentas, meskipun baru sahaja kehilangan ‘sahabat’. Cukup profesional menyembunyikan kesedihan malah bikin seluruh stadium gamat ketika mereka menyampaikan lagu Laukku Cukup Masin.
Namun, kejutan malam itu berlaku apabila Spider kembali ke pentas atas permintaan peminat dengan persembahan tambahan lagu Relaku Pujuk, mencetuskan sorakan dan kegembiraan luar biasa.
Konsert Jiwa Epilog 2024 bukan sekadar hiburan. Ia menjadi simbol persahabatan erat antara Malaysia dan Indonesia, dengan barisan artis hebat dan kehadiran penonton yang luar biasa. Konsert ini mencipta kenangan manis yang akan terus diingati oleh peminat kedua-dua negara.
Konsert ini membuktikan bahawa muzik mampu menyatukan jiwa-jiwa dari pelbagai latar, sekaligus menjadi platform untuk meraikan kehebatan seni dan persaudaraan.