‘CACACA’ Satukan Bella Astillah dan Nabila Razali
Bila 2 Ratu TikTok Bergabung, Maka Lahirlah Melodi ‘Catchy’
Dua bintang terkenal industri muzik Malaysia, Nabila Razali dan Bella Astillah, kini tampil dengan kolaborasi pertama mereka menerusi single terbaharu berjudul CACACA. Lagu ini menjanjikan satu pengalaman muzik yang segar dan penuh tenaga, mempamerkan sisi dinamik kedua-dua penyanyi berbakat ini.
CACACA adalah sebuah lagu pop ceria dengan elemen tarian yang mengangkat tema keyakinan diri dan kebebasan bersuara. Dengan irama yang ‘catchy’ dan lirik mudah diingati, lagu ini diyakini mampu mencipta fenomena baharu dalam kalangan pendengar.
Lagu ini menggambarkan keseimbangan antara usaha keras dan takdir dalam mengejar kejayaan. Ia menunjukkan perjuangan untuk mencapai impian sambil menyedari kepentingan kesabaran dan ketekunan.
Liriknya juga menyentuh tentang cabaran hidup yang tak terduga dan keinginan untuk mendapatkan kepuasan emosi. Secara keseluruhannya, lagu ini menggalakkan pendengar untuk terus berusaha, memahami bahawa usaha dan nasib memainkan peranan dalam mencapai matlamat.
Proses rakaman dijalankan dengan penuh semangat dan kerjasama erat antara Nabila dan Bella, yang masing-masing turut terbabit secara langsung dalam menyampaikan mesej positif melalui lagu ini.
Nabila Razali berkata, lagu CACACA ini sangat kena dengan karakter dan vokal dia dan Bella. Adib Hussin selaku penerbit muzik yang memahami karakter dan vokal kami. Ia lebih memudahkan untuk kami menyampaikan lagu ini. Alhamdulillah, semua berjalan lancar. Diakui, ini sebuah lagi projek yang ‘fun’ dan menarik.
“Bekerjasama dengan Bella juga sangat mudah bekerja. Biarpun jadual kami masing-masing sibuk, tapi kami berdua cuba untuk memberi yang terbaik menerusi lagu ini. Begitu juga dengan semua pihak yang bekerjasama dengan sangat baik,” katanya.
Menurut Nabila, dia berharap agar peminat dapat menerima dengan penuh hati buah tangan terbaharunya bersama Bella. Malah, Nabila meyakini bahawa kolaborasi itu adalah suatu karya yang dapat menghiburkan dan memuaskan hati peminat mereka.
“Buat masa sekarang, fokus utama saya adalah kepada lagu ini dahulu. Saya ingin memberi yang terbaik dengan segala usaha dan kreativiti saya untuk memastikan lagu ini dapat diterima dengan baik oleh seluruh peminat dan pendengar.
“Jika dalam masa akan datang terdapat peluang untuk melakukan kolaborasi lain, saya pasti akan berkongsi berita baik itu kepada semua, kerana keterbukaan dan interaksi dengan peminatsangat saya hargai,” katanya.
Sementara itu, Bella Astillah berkata, projek ini memberi pengalaman yang menyeronokkan kerana dia dan Nabila dapat menonjolkan keserasian yang unik dalam persembahan mereka.
“Proses rakaman lagu ini sebenarnya agak lucu. Ketika itu saya diberitahu bahawa ia adalah untuk nak ‘test key’ sahaja. Jadi, kami pun cuba nyanyi. Bila selesai, kami diberitahu itu adalah proses rakaman sebenar. Jadi, macam kena scam jugalah.
Nasib baiklah ketika itu, kami memang sudah bersedia dari segi melodi dan lain-lain. Walaupun baharu dengar beberapa kali, pengalaman bekerja dengan Nabila dan lagu ini sesuatu yang menarik.
“Bagi saya, Nabila seorang yang sangat bekerja keras dan sangatlah menitikberatkan soal kualiti dalam kerja. Biarpun kita tahu ketika ini dia sedang sarat mengandung, semangat tetap hebatg. Jadi, perkara sebegini sangat membantu. Begitu juga dengan saya. Kiranya, kami sentiasa inginkan yang terbaik,” katanya.
Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, lagu ciptaan Mage (Faithful Publishing), Ja’a (Faithful Publishing), Ezra Kong (Raksasa Studio) ini sudah boleh didapati di semua platform penstriman digital, termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.
Video muzik rasmi lagu ini turut dilancarkan serentak, menampilkan konsep visual yang penuh warna-warni dan koreografi bertenaga yang sesuai dengan tema lagu.