Kilafairy Sertai Konsert Udit Narayan Di Kuala Lumpur Bulan Ini
Penyanyi Kilafairy, atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan, bakal mencatat sejarah apabila dipilih menjadi penyanyi wanita Malaysia yang menyertai Konsert Udit Narayan In KL. Konsert ikonik ini akan berlangsung pada 28 Disember 2024 ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Kilafairy, yang merupakan anak kepada penyanyi terkenal era 80-an Allahyarham Rohana Jalil, dipilih oleh pihak penganjur, VVST Digital Creation, kerana kredibilitinya sebagai penyanyi yang fasih menyampaikan lagu Bollywood.
“Saya mahu arwah ibu menjadi saksi pembabitan saya dalam konsert epik ini. Jika beliau masih ada, pasti beliau sangat bangga,” ujar Kilafairy, 32, yang menyifatkan peluang ini sebagai mimpi menjadi kenyataan.
Kilafairy, yang mengagumi Udit Narayan sejak kecil, menyatakan rasa gemuruh dan bangga kerana diberi peluang untuk berkongsi pentas dengan legenda Bollywood tersebut.
“Udit Narayan adalah figura istimewa. Sebagai peminat Shah Rukh Khan, saya selalu terpesona dengan vokal Udit dalam lagu-lagu filem SRK. Apabila dilamar untuk konsert ini, saya terkejut, namun teruja untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Penyanyi itu bakal menyampaikan satu lagu solo serta dua lagu duet bersama penyanyi Syamel. Untuk memastikan persembahan cemerlang, Kilafairy kini giat menjalani latihan vokal dan mendalami lenggok nyanyian Hindustan yang menurutnya sangat berbeza dengan gaya Melayu.
Bagi Kilafairy, dunia Bollywood bukanlah sesuatu yang asing. Sejak usia 8 tahun, beliau sudah menyanyikan lagu-lagu Hindustan dan menikmati filem-filem Bollywood bersama keluarga.
“Bollywood membawa saya pulang ke zaman kanak-kanak, terutama kenangan bersama arwah ibu. Kami menonton filem Kabhi Khushi Kabhi Gham lima kali, dan setiap kali menonton, air mata tetap mengalir. Lagu-lagu Udit seperti dalam filem Devdas, Mann, dan Taal sentiasa menyentuh hati saya,” katanya penuh emosi.
Konsert Udit Narayan In KL akan menyaksikan Raja Melodi Bollywood itu kembali ke Malaysia selepas 12 tahun. Dengan lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa sepanjang tiga dekad kerjaya, beliau dijangka membawa para peminat mengimbau zaman kegemilangan Bollywood, khususnya era 90-an.
Kilafairy turut mendedahkan bahawa beliau akan mengenakan kostum bertema Bollywood hasil rekaan pereka tempatan, Shanell Harun. “Saya akan tampil sederhana tapi elegan, selari dengan tema konsert,” tambahnya.
Untuk menyaksikan malam penuh memori ini, tiket boleh didapati melalui https://myticket.asia atau dengan menghubungi VVST Digital Creation di [email protected]. Penganjur juga memberi jaminan bahawa konsert ini akan berlangsung seperti yang dirancang tanpa sebarang masalah.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Konsert Udit Narayan In KL pada 28 Disember 2024 di Mega Star Arena!