Maksim Kembali ke Kuala Lumpur dengan “Segmenti World Tour” 2025
Pemain piano terkenal dunia, Maksim Mrvica, atau lebih dikenali sebagai Maksim, bakal memukau peminat muzik tanah air menerusi persembahan luar biasa dalam siri jelajah terbaharunya, Segmenti World Tour.
Konsert yang dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment ini akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pada 12 Februari 2025 (Rabu), jam 8.30 malam. Maksim, yang terkenal dengan gabungan genre klasik dan moden (classical crossover), akan tampil bersama sebuah orkestra untuk mempersembahkan repertoar unik. Antara yang akan dipersembahkan termasuk gubahan daripada album terbarunya, Segmenti, yang merangkumi hit popular seperti lagu-lagu ABBA dan Queen, serta karya agung klasik abadi oleh Chopin, Prokofiev, dan Tchaikovsky.
Dilahirkan di Šibenik, Croatia, Maksim mula mempelajari piano pada usia sembilan tahun walaupun berdepan cabaran perang semasa zaman remajanya. Beliau mendapat latihan klasik di beberapa institusi ternama seperti Akademi Muzik Zagreb, Akademi Muzik Franz Liszt di Budapest, dan Konservatori Alexander Scriabin di Paris.
Dengan kemahiran luar biasanya, Maksim mencipta fenomena global menerusi album-album yang mempopularkan nama beliau di persada dunia. Antara kehebatan Maksim adalah keupayaannya memainkan 16 nota dalam sesaat, selain karya-karya terkenalnya seperti Croatian Rhapsody, Flight of the Bumblebee, serta interpretasi kreatif tema filem popular seperti Pirates of the Caribbean, Game of Thrones, dan Mission Impossible.
Tiket untuk menyaksikan persembahan epik ini akan mula dijual pada 12 Disember 2024, bermula jam 12.00 tengah hari di laman web rasmi www.ticketingtix.com. Harga tiket adalah seperti berikut: RM888 (VIP), RM688 (CAT 1), RM488 (CAT 2), RM288 (CAT 3), dan RM188 (CAT 4).
Jangan lepaskan peluang menyaksikan persembahan penuh magis oleh Maksim Mrvica ini. Untuk maklumat lanjut, ikuti Lo-Fi Entertainment di Instagram (@lofi.entertainment) dan Facebook (Lo-Fi Entertainment KL).