Konsert ‘Hitam Manis’: Bukan Sekadar Sebuah Konsert, Tetapi Penyatuan Muzik 3 Era

Kredit Foto: Fendi Ghafar
Biarpun ianya berjudul ‘ Hitam Manis’, yang mungkin bagi segellintir peminat adalah biasa-biasanya sahaja, namun Datuk Hattan, Hazama dan Black menjanjikan malam yang sarat dengan magis apatah lagi ianya bakal di adakan di pentas yang berprestij.
Konsert Hitam Manis bakal menggegarkan pentas Plenary Hall, KLCC pada 8 Februari 2025. Persembahan epik ini menampilkan tiga nama besar dalam industri muzik tanah air. Sudah masti masing-masing punya aura tersendiri yang mampu menjampi peminat dengan deretan lagu-lagu yang mengangkat mereka ke persada seni muzik tempatan.

“Untuk konsert kali ini, saya memilih untuk tampil bertiga. Bukan mudah mengendalikan persembahan selama tiga jam seorang diri. Saya menjemput Hazama dan Black kerana chemistry kami yang hebat, selain hubungan kerja yang baik sejak dahulu. Hazama pernah saya nilai di Akademi Fantasia, manakala Black pula pernah menyertai saya dalam konsert jelajah Sarawak. Nama ‘Hitam Manis’ dipilih kerana ia menggambarkan warna kulit kami yang unik,” ujarnya sewaktu ditemui media di Saloma Kuala Lumpur pada 5 Disember lalu.
Konsert yang dianjurkan oleh Reacch Events merupakan konsert pembuka tirai tahun 2025, menjanjikan gabungan nostalgia, rock, dan vokal mantap ketiga-tiga bintang ternama ini.

Datuk Hattan bakal memikat peminat dengan lagu-lagu hits seperti Biso Bonar, Mahligai Syahdu, dan Memburu Rindu. Hazama pula akan memukau penonton dengan vokalnya yang unik melalui rangkaian lagu popularnya, manakala Black bakal membakar semangat penonton dengan persembahan energetik melalui hits seperti Sofea Jane, Teman Pengganti, dan Anugerah Terindah.

“Kami semua adalah penyanyi solo yang dikenali dengan gaya masing-masing. Apabila Datuk Hattan menawarkan peluang ini, saya terus bersetuju. Ini adalah platform untuk meraikan perjalanan seni kami bersama peminat,” ujarnya yang kelihatan cukup teruja.
“Ini bukan sekadar konsert biasa. Ia satu sambutan muzik yang akan menyentuh hati semua lapisan masyarakat. Kami berjanji akan memberikan yang terbaik untuk mencipta kenangan indah bersama peminat.”kata Black.

Konsert Hitam Manis dijangka berlangsung selama dua jam lebih dengan pelbagai segmen menarik, termasuk persembahan solo, duet, dan kolaborasi eksklusif. Datuk Hattan turut menyifatkan konsert ini sebagai titik perpaduan antara generasi.
“Konsert ini bukan hanya hiburan, tetapi peluang untuk menyatukan elemen muzik dari pelbagai era. Saya yakin peminat akan merasai kelainan dalam setiap persembahan,” kata Hazama
Tiket konsert sudah mula dijual pada 4 Oktober 2024 dan boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada sejarah muzik ini.
Hitam Manis bukan sekadar konsert – ia adalah malam yang menjanjikan kenangan tak terlupakan, penuh dengan semangat, nostalgia, dan kehebatan tiga legenda tanah air!
