November 25, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Wani Kayrie Kembali Dengan Single “Aiman Tino”

Spread the love

Selepas lebih setahun berehat dari dunia seni, Wani Kayrie kini kembali dengan single terbaharunya berjudul “Aiman Tino”. Lagu yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment ini merupakan hasil ciptaan komposer terkenal Ezra Kong.

Dilancarkan di TikTok sejak 27 September lalu, sedutan satu minit lagu ini telah mendapat perhatian ramai peminat Wani, yang memberi pelbagai reaksi positif. Menurut Wani, lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang menyimpan perasaan kepada seorang lelaki yang berimej comel seperti Aiman Tino.

“Lagu ini istimewa kerana korusnya mudah melekat di ingatan pendengar. Malah, saya dan Ezra berbincang untuk menambah elemen kemelayuan pada bahagian ‘bridge’ bagi memberikan identiti unik kepada lagu ini,” kata Wani.

Berusia 24 tahun, Wani turut menyatakan bahawa rentak lagu ini yang rancak dan ceria mampu memberikan impak positif kepada pendengar. “Saya percaya lagu ini boleh membuatkan orang rasa happy dan ingin mendengarnya berulang kali,” tambahnya.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, menyifatkan “Aiman Tino” sebagai lagu berpotensi besar yang sesuai dengan selera muzik masa kini. “Melodi catchy dengan elemen tempatan menjadikan lagu ini menonjol di kalangan pendengar,” jelasnya.

Ezra Kong, pencipta dan penulis lirik lagu ini, mendedahkan bahawa lagu tersebut diinspirasikan daripada imej seorang lelaki yang kemas dan berkarisma, seperti Aiman Tino. “Lagu ini ringan tetapi penuh makna, menggabungkan unsur humor, flirtasi, dan emosi,” katanya.

Wani Kayrie (dua dari kiri) dilihat bersama Sher Leen Wee (kiri), Prem Anand (dua dari kanan), dan Syakireen Othman dari Rocketfuel baru-baru ini.

Wani berharap lagu ini dapat diterima semua peringkat usia. “Bagi mereka yang menyimpan perasaan terhadap seseorang, lagu ini mungkin berkaitan dengan pengalaman hidup mereka,” katanya lagi.

Single “Aiman Tino” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, termasuk dalam format Dolby Atmos di Apple Music. Video muzik eksklusifnya juga akan dilancarkan di saluran Wani Kayrie TV hari ini, 25 November 2024.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page